Wan Azizah terkejut, terkilan dengan Senator PKR

Kenyataan Senator Parti Keadilan Rakyat (PKR), Laksamana Pertama Mohamad Imran Abd Hamid dalam Dewan Negara semalam. Gambar kecil:Dr Wan Azizah Wan Ismail
Kenyataan Senator Parti Keadilan Rakyat (PKR), Laksamana Pertama Mohamad Imran Abd Hamid dalam Dewan Negara semalam. Gambar kecil:Dr Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui terkejut dan terkilan membaca kenyataan Senator Parti Keadilan Rakyat (PKR), Laksamana Pertama Mohamad Imran Abd Hamid dalam Dewan Negara semalam.

Semalam, Mohamad Imran mencadangkan satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh menyebabkan kaum lelaki tergoda diwujudkan.

Dr Wan Azizah berkata, tindakan mempertikaikan wanita sebagai ancaman jenayah kerana etika berpakaian atau cara percakapan adalah tanggapan yang salah.

“Saya terima baik tindakan Mohamad Imran menarik balik serta memohon maaf di atas kenyataan beliau semalam. Saya sememangnya terkejut dan terkilan apabila membaca kenyataan tersebut.

“Sebagai seorang Senator PKR, seharusnya beliau lebih prihatin dan sensitif akan pendirian parti berkait isu keganasan terhadap wanita, termasuk isu gangguan dan keganasan seksual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, pemimpin politik termasuk wakil rakyat perlu memainkan peranan dalam memastikan kaum wanita bahkan lelaki sentiasa dilindungi dari jenayah seksual.

“Oleh itu, saya mencadangkan supaya sesi kepekaan jantina dilakukan terutama bagi wakil rakyat agar punca dan kesan keganasan terhadap wanita difahami bersama.

“Menyalahkan wanita untuk perilaku buruk lelaki adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kenyataan seumpama itu tiada tempat di sebuah negara yang mendukung prinsip Malaysia Baharu.

“Kaum wanita perlu dilindungi daripada jenayah. Bagaimana pula kaum wanita disalahkan kerana menyebabkan berlakunya jenayah terhadap mereka?

“Kedua-dua kaum Adam dan Hawa mempunyai peranan dalam membangunkan negara,” katanya.

Hari ini, Mohamad Imran menarik balik cadangan mewujudkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Beliau turut memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan cadangan berkenaan.

“Saya memohon maaf kepada semua yang terjejas dengan perbahasan saya kerana mencadangkan diwujudkan akta gangguan seks melindungi kaum lelaki semasa membahaskan RUU Profesen Peguam Syarie semalam di Dewan Negara,” katanya dalam kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN:Senator PKR tarik balik cadangan undang-undang lindungi lelaki