Pendakwa raya pinda pertuduhan Musa Aman

Tan Sri Musa Aman semasa selesai prosiding sebutan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
Tan Sri Musa Aman semasa selesai prosiding sebutan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan meminda pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi oleh bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang berdepan 51 pertuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram, Mei lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar memberitahu perkara itu semasa prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi.

Menurut Umar Saifuddin, buat masa ini pihaknya sedang meneliti kertas pertuduhan yang dihadapi Musa.

“Memandangkan kes ini baru sahaja dipindahkan ke mahkamah tinggi, terdapat pindaan-pindan yang dilakukan terhadap pertuduhan,” katanya dalam prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Tambahnya, pihaknya juga dalam proses melengkapkan dokumen kerana terdapat eksibit yang datang dari luar negara.

Sehubungan itu, Umar Saifuddin memohon satu tarikh sebutan baharu untuk pengurusan kes bagi pihak terlibat meneliti dan menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan.

Pada masa yang sama beliau memaklumkan, tertuduh (Musa) akan mendapatkan rawatan di luar negara dan akan berlepas pada 7 Ogos dan kembali ke tanah air pada 7 September ini.

Peguam Francies Ng Aik Guan yang mewakili Musa pula memaklumkan anak guamnya dibenarkan untuk mendapatkan passport sementara untuk melakukan rawatan di London.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 September ini untuk pengurusan kes.

Pada November 2018, Musa berdepan 16 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih AS$37.8 juta dan SGD2.5 juta selain turut menghadapi 35 pertuduhan rasuah membabitkan kontrak konsesi balak berjumlah AS$63.3 juta (RM263 juta).