Tular 70 kes tibi di Johor Bahru tidak benar

Dr Selahuddeen Abd Aziz
Dr Selahuddeen Abd Aziz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Johor menafikan dakwaan yang tular di laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp menyatakan terdapat 70 kes positif penyakit tibi di Kampung Melayu Majidee Baru dan Pandan pada masa ini.

Pengarahnya, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, tiada sebarang kenyataan oleh jabatan itu yang menghalang pergerakan awam termasuk ke kawasan tersebut disebabkan penyakit tibi mahupun penyakit berjangkit yang lain.

"Sepanjang tempoh Januari hingga Julai lalu hanya terdapat 10 kes Tibi dilaporkan di kawasan berkenaan dan kesemua kes tersebut diberikan rawatan serta dipantau status kesihatan mereka.

"Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor ingin memaklumkan bahawa mesej tular tersebut adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penyakit tibi disebabkan kuman mycobacterium tuberculosis (kuman tibi) yang disebarkan melalui cecair mulut dan hidung pesakit apabila batuk, bercakap atau bersin.

Katanya, pesakit yang telah disahkan penyakit tibi perlu mendapatkan rawatan segera dan pengambilan ubat rawatan hendaklah sehingga lengkap mengikut saranan doktor yang merawat.

"Pesakit tibi perlu dirawat segera bagi memastikan ianya tidak menular kepada orang lain.

"Penyakit tibi ialah salah satu penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan kepada pihak kesihatan dan kita sentiasa melakukan pemantauan kejadian penyakit ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Dr Selahuddeen berkata, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat palsu demi mengelakkan timbulnya kekeliruan dan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, tular di media sosial termasuklah aplikasi WhatsApp bahawa pada masa ini, Kampung Melayu Majidee Baru dan Pandan terdapat lebih 70 kes positif Tibi.

Mesej yang tular itu turut menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti ke kawasan tersebut untuk mengurangkan jangkitan.