Pertabalan Agong: Suara emas di sebalik jendela kaca

Noraini Ibnu
Noraini Ibnu
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kelunakan nada suara yang bergema di Istana Negara, berserta lenggok bahasa yang indah disampaikan pengacara istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, menyemarakkan lagi istiadat yang berlangsung penuh adat warisan Kesultanan Melayu.

Mungkin tidak ramai yang tahu suara emas itu milik juruhebah veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Noraini Ibnu, 59, yang mengatur acara di sebalik jendela kaca sebuah kamar khas bersama-sama rakan setugas, Khairul Hanif Khairuddin.

Namun, khidmat Noraini sempena istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ini cukup istimewa kerana 35 tahun lepas, suara emas beliau turut bergema di Balairung Seri, Istana Negara (lama) sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong kelapan, Almarhum Sultan Iskandar, yang merupakan ayahanda kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Saya telah berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan majlis seawal usia 20-an dan diberi kepercayaan untuk mengacara istiadat pertabalan Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 26 April 1984.

"Sejak itu, saya menggalas tugas berkenaan dan istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan kali kesembilan saya terlibat sebagai pengacara majlis bagi istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Walau sudah boleh digelar 'otai' dalam pengacaraan, namun anak jati Kuala Lumpur yang sudah 39 tahun mencipta nama dalam bidang itu tetap berasa bangga dapat menyumbang bakti dalam menjayakan setiap acara terutamanya istiadat pertabalan yang merupakan detik bersejarah negara.

Bercerita pengalaman beliau dalam istiadat kali ini, Penolong Pengarah Rakam Khanah P. Ramlee di Angkasapuri itu menyifatkan istiadat kali ini amat bermakna baginya kerana elemen 'sentuhan peribadi' Tunku Azizah.

"Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat bertemu dengan petugas yang terlibat untuk memberi penerangan mengenai persiapan pelaksanaan upacara dan memberi kata-kata semangat kepada semua untuk menjayakan istiadat itu.

Artikel Berkaitan:

“Titah Raja Permaisuri Agong amat menyentuh hati saya, membuktikan keprihatinan Tuanku dan membuatkan saya berazam untuk memberikan yang terbaik pada hari tersebut,” katanya.

Noraini yang bakal bersara pada Februari depan berkata selain majlis diraja, beliau banyak mengacara majlis rasmi kerajaan termasuk pembukaan Persidangan Parlimen dan Hari Kebangsaan.

“Mula-mula memang ada rasa gugup dan berdebar-debar. Tapi kerana minat dan yakin serta sokongan daripada senior, alhamdulillah saya dapat laksanakannya (mengacara). Terima kasih kepada senior saya yang banyak memberi tunjuk ajar seperti Mustazah Maah, Datin Wan Rohani Zain, Chuari Selamat dan Ngasri Sain,” katanya.

Ujar isteri kepada penyanyi tanah air Herman Tino itu, selain latihan membaca skrip pengacaraan, penjagaan kesihatan dan tidur yang cukup juga penting bagi mengekalkan kelancaran penyampaian agar tidak mencacatkan majlis.

“Untuk menjaga suara, saya tidak akan minum air batu. Sungguhpun sekarang ini musim buah-buahan, saya elak makan durian, rambutan dan manggis. Suara paling penting, perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada majlis dan tidak boleh ingat perkara lain semasa menjalankan tugas,” ujarnya.

Selain itu, katanya keserasian perlu diwujudkan bersama rakan yang berganding dengannya bagi mengekalkan momentum dari awal sehingga selesai upacara.

Beliau turut menasihati pendatang baharu bidang tersebut agar tidak segan bertanya dan tidak mudah berpuas hati dengan tugas yang dilaksanakan kerana ruang untuk memperbaiki diri sentiasa ada.

Sementara itu, rakan gandingan Noraini bagi istiadat itu, Khairul Hanif, 40, menyifatkan beliau sebagai senior dan mentor yang suka berkongsi ilmu dan pengalaman.

“Rasa berdebar dan teruja pertama kali menjadi pengacara utama istiadat pertabalan walaupun pernah menjadi pengacara majlis rasmi lain. Namun saya yakin dan bangga kerana diberi peluang,” ujar anak jati Ipoh, Perak yang bertugas sebagai Penerbit dan Penyampai Nasional.fm. - Bernama