Biar polis siasat isu pencemaran: Amirudin

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan siasatan mengenai kes pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor kepada pihak polis sepenuhnya.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau mempunyai pandangan mengenai kes itu namun pihaknya menyerahkan kepada polis.

“Semasa kenyataan saya yang lepas saya tidak mengesahkan ia mengandungi unsur sabotaj namun ia adalah daripada pandangan kasar.

“Jadi saya serahkan kepada pihak polis sepenuhnya, yang mana polis pastinya ada kaedah untuk kenal pasti akan sesuatu masalah dan sebagainya,” katanya kepada media di ruang lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini.

Terdahulu, tiada unsur sabotaj berhubung pencemaran diesel melibatkan Sungai Selangor sebaliknya ia hanya disebabkan oleh kecuaian.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, pencemaran sungai tersebut berpunca daripada kecuaian pekerja syarikat lantikan kerajaan negeri bagi membersihkan Sungai Selangor.

“Pada mulanya mungkin kita ingatkan sabotaj, tetapi selepas menahan dua individu siasatan mendapati ia bukan sabotaj dan hanya melibatkan kecuaian,” katanya.

Sementara itu, pada perkembangan lain, Amirudin menafikan beliau memboikot majlis anjuran PKR sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor berkata, tidak timbul soal boikot memboikot.

“Saya hadir dalam beberapa mesyuarat sebelum ini, kalau nak boikot saya tak hadir langsung.

“Mesyuarat yang diadakan bulan puasa lepas saya hadir tapi yang diadakan lepas raya saya tak hadir sebab tak sempat,” katanya.

Isu tersebut timbul selepas beliau dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat MPP PKR baru-baru ini yang berlangsung di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.