Kebakaran luar biasa landa Artik

Antara 250 dan 300 titik panas telah direkodkan di utara Bulatan Artik pada setiap hari.
Antara 250 dan 300 titik panas telah direkodkan di utara Bulatan Artik pada setiap hari.
A
A
A

BRUSSELS - Di seluruh dunia, tanda pemanasan global semakin membimbangkan.

Selain gelombang haba melampau yang melanda Eropah, kawasan mengelilingi Kutub Utara bumi dilaporkan mengalami kebakaran sejak Jun lalu.

Dalam tempoh dua bulan, kebakaran berlaku dari Alaska hingga ke Siberia dan Greenland.

Saintis kini sedang mengawasi lebih 100 kebakaran di Artik dan turut mendakwa 2019 adalah tahun tidak pernah berlaku insiden seumpama itu.

Saintis kanan di Pusat Eropah untuk Ramalan Kaji Cuaca Sederhana, Mark Parrington berkata, ia bukan satu perkara luar biasa untuk melihat kebakaran di wilayah Artik terutamanya di kawasan hutan di sebelah utara.

"Jumlah dan saiznya berubah-ubah setiap tahun. Tetapi, pada tahun ini, ia agak ketara. Jumlah kebakaran adalah lebih tinggi untuk bulan Jun," katanya sambil membandingkan dengan data 16 tahun lalu.

Menurutnya, antara 250 dan 300 titik panas telah direkodkan di utara Bulatan Artik pada setiap hari dan ia adalah empat hingga lima kali lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Jelasnya lagi, keadaan itu berlaku kerana suhu di Artik kini meningkat pada kadar cepat berbanding purata global.

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan kebakaran hutan itu melanda kawasan tidak berpenghuni, namun ia turut memberi kesan kepada penduduk di beberapa bandar di Siberia.

Dalam memo dikeluarkan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) memaklumkan kebakaran hutan itu telah membebaskan 50 megaton karbon dioksida.

"Bahagian utara bumi kini lebih panas dan keadaan itu menyebabkan hutan lebih terdedah untuk terbakar," kata badan pemerhati cuaca terbabit.

Fenomena pencairan ais di Artik yang berlaku pada kadar cepat juga mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

Kajian terbaharu mendapati matlamat Perjanjian Paris 2015 yang bertujuan untuk mengekalkan suhu global di bawah paras 2 darjah Celsius didakwa tidak mencukupi untuk 'menyelamatkan' keadaan kritikal di Artik. - Agensi