Dewan Negara lulus RUU Profesion Guaman Syarie 2019

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang bertujuan antara lain bagi menubuhkan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie untuk mengawal selia amalan profesion guaman syarie di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan berkata ia juga mencadangkan agar Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie diwujudkan bagi tujuan sama.

Katanya melalui rang undang-undang itu, bakal peguam syarie akan diwajibkan menjalani latihan dalam kamar selama enam bulan yang dianggapnya sebagai satu tempoh mencukupi bagi membiasakan diri mereka dengan perundangan substantif dan tatacara yang perlu dipatuhi dalam pengendalian satu-satu kes.

"Rang Undang-undang ini juga akan membolehkan Majlis Peguam Negara menubuhkan unit bantuan guaman khas Mahkamah Syariah seperti mana diwujudkan di Mahkamah Sivil di samping menubuhkan lembaga tatatertib bagi mengawal selia dan menjaga kebajikan peguam syarie," katanya.

Walaupun rang undang-undang itu hanya terpakai dalam Wilayah Persekutuan sahaja, Mujahid berharap ia dapat menjadi satu penanda aras dan model untuk dicontohi negeri-negeri lain dalam meningkatkan profesionalisme peguam syarie.

Turut diluluskan Dewan Negara hari ini ialah Rang Undang-undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (No.2) 2019.

Rang undang-undang itu adalah pindaan berbangkit daripada penggubalan Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019. -Bernama

Artikel Berkaitan: