79 kena cekup dalam Ops Sarang 2019

Mohamad Noor (dua , kiri) membuat pemeriksaan ke atas semua suspek kesalahan berkaitan dadah di IPD Kuantan di sini.
Mohamad Noor (dua , kiri) membuat pemeriksaan ke atas semua suspek kesalahan berkaitan dadah di IPD Kuantan di sini.
A
A
A

KUANTAN - Dua warga emas antara 79 individu yang ditangkap dalam Ops Sarang 2019 oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, antara 28 hingga 31 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kedua-duanya yang juga duda berusia 63 dan 70 tahun itu ditangkap di Cenderawasih, di sini, atas kesalahan urin di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, apa yang mengecewakan salah seorang daripadanya merupakan seorang yang dibayar oleh surau untuk kerja-kerja menyapu sampah manakala duda berusia 70 tahun itu pula pernah dipenjarakan selama tiga bulan di Penjara Penor, atas kesalahan sama.

"Mereka yang menghisap dadah ini jika tidak dibendung kita bimbang perilakunya akan merebak dalam masyarakat. Sebilangan mereka juga ada yang terlibat dengan kes jenayah seperti pecah rumah, samun dan ragut.

"Dengan penangkapan mereka telah berlaku beberapa penurunan kes jenayah tersebut di daerah ini. Kita akan meneruskan operasi ini kerana percaya tindakan yang proaktif akan beri kesan positif terhadap penurunan kadar jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media operasi tersebut di IPD Kuantan, di sini hari ini.

Dalam operasi kali ketiga itu, Mohamad Noor berkata, jumlah tangkapan dibuat adalah 79 orang untuk 72 kes.

Selain kesalahan urin, ada yang ditangkap di atas kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta sama dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) kerana kesalahan berulang.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan LLPK, IPD Kuantan mencatat kejayaan mendakwa tujuh kes ke mahkamah di bawah Seksyen 39(C) Akta sama yang memperuntukkan hukuman minimum lima tahun penjara dan sebatan.

Turut menarik perhatian media adalah dua wanita berusia 27 dan 30 tahun yang mengakui masing-masing telah mempunyai anak tetapi tegar menghisap dadah.

Mohamed Noor berkata, kesemua mereka ialah penduduk daerah Kuantan yang ditangkap sekitar Jaya Gading, Balok, Semambu, Taman Tas, Bandar Kuantan, Chenderawasih, Beserah dan Tanjung Lumpur.

Mereka yang berumur lingkungan 17 hingga 70 tahun itu terdiri kalangan pelajar, nelayan, buruh dan suri rumah manakala jenis dadah yang dirampas ialah heroin, syabu dan ganja.