Polis sahkan terima laporan kehilangan bauksit RM1.72j

Mohamad Noor (dua, kanan) pada sidang media di IPD Kuantan hari ini.
Mohamad Noor (dua, kanan) pada sidang media di IPD Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung kehilangan bauksit yang didakwa bernilai RM1.72 juta di pusat penyimpanan dekat Gebeng di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, laporan itu dibuat seorang kakitangan syarikat perlombongan terlibat pada 27 Julai lalu.

"Satu laporan dibuat seorang staf yang bertugas di satu syarikat yang mengatakan satu kawasan di Gebeng, berlaku pencerobohan oleh satu kumpulan.

"Pihak polis masih melakukan siasatan dengan kerjasama beberapa pihak dan turut merujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian Pahang.

"Butiran siasatan awal tidak dapat didedahkan kerana masih dalam siasatan. Sekiranya ada perkembangan kes di bawah bidang kuasa polis, saya akan maklumkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.

Beberapa hari lalu, media melaporkan sebuah syarikat perlombongan mendakwa kerugian lebih RM1.7 juta apabila kira-kira 15,000 tan bauksit dicuri pada 22 Julai lalu.

Pengarah urusan syarikat itu turut mendakwa, kejadian tersebut dipercayai dilakukan pihak tertentu yang tinggal berhampiran pusat penyimpanan milik syarikat itu.

Dakwanya, kehilangan bahan mineral itu disedari pekerja syarikatnya selepas mendapati beberapa individu bersama tiga unit jengkaut dan lori berada di kawasan pusat penyimpanan itu, sejak 22 Julai.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan mereka sudah melakukan aktiviti memindahkan bauksit selama tiga hari dan berjaya memindahkan 15,000 tan.

“Bauksit yang dicuri itu kemudiannya dipindahkan ke satu kawasan yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat penyimpanan syarikat saya,” katanya yang mengakui mempunyai bukti bergambar.