Program Asia’s Kids Star bakal ketengahkan bakat kanak-kanak

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pertandingan kebudayaan warisan negara peringkat antarabangsa akan dianjurkan melalui program ‘Asia’s Kids Star’ pada 05 Oktober 2019.

Menurut penganjur program, NQ Cultural Commercial Sdn Bhd menjelaskan bahawa program ini akan mengetengahkan bakat kanak-kanak seramai 120 orang dalam pelbagai cabang seni serta budaya warisan negara melalui pertandingan tarian, nyanyian, lukisan, pertunjukan fesyen, permainan muzik tradisional serta seni kraftangan.

"Pertandingan peringkat saringan akan diadakan bermula 25 Ogos ini bagi mencungkil serta memilih bakat tempatan dari kalangan kanak-kanak yang akan mewakili Malaysia dalam peringkat akhir ‘Asia’s Kids Star’.

"Ia terbuka kepada semua kanak-kanak berumur 3 -16 tahun tanpa mengira latar belakang kaum dan agama," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut penganjur lagi, program ini diilhamkan bagi meraikan ulang tahun ke 45 hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan China, khususnya dalam usaha melestarikan kebudayaan, kesenian serta adat resam di kalangan kanak-kanak generasi kini.

"Ia turut mensasarkan penyertaan dari kalangan negara seperti Singapura, Thailand, Brunei, Filipina, Indonesia dan lain-lain negara jemputan," katanya.

Tambahnya, selaras hasrat tersebut, keseluruhan rombongan peserta luar juga akan diperkenalkan dengan adat budaya seni negara menerusi program lawatan ke Pusat Kraftangan Negara, Balai Seni Lukis Negara dan MATIC.

"Mereka turut berpeluang merasai suasana berbeza seperti di luar bandar melalui pelbagai aktiviti yang disediakan di Semenyih Eco Resort.

Artikel Berkaitan:

“Program ini sekaligus dapat menyemarakkan serta menerapkan pembudayaan dalam kalangan kanak-kanak, ke arah penyatuan, perpaduan dan membina modal insan tanpa sempadan umur, agama serta bangsa," katanya.

Sebelum itu, Majlis Pra Pelancaran Asia’s Kids Star’ bagi mengumumkan serta memperkenalkan dengan lebih dekat tentang perjalanan dan initipati program itu telah disempurnakan Adinda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Muna Najiah Almarhum Sultan Iskandar Al Haj hari ini.