Selami keperibadian, perjuangan baginda

A
A
A

PADA Selasa lalu dirasakan sangat berbeza. Hati penulis deras bergetar bagai tiada henti. Pada masa sama, perasaan sayu terus menyelubungi jiwa.

Hal-hal sebegitu tidak pernah berlaku sebelum ini. Ya, sebenarnya penulis sungguh tidak sabar untuk melihat dengan mata sendiri peninggalan 52 artifak peninggalan Rasulullah SAW dan para sahabat yang dipamerkan pada satu pameran khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Tatkala sampai di tapak pameran, emosi penulis menjadi berlebihan. Aura dan suasana di sana begitu mencengkam emosi. Tanpa disedari, kelopak mata penulis bergenang dengan air mata. Ya ALLAH, terasa diri begitu kecil pada saat melihat segala khazanah berharga Nabi Muhammad SAW yang sempat ditinggalkan demi tatapan umat-Nya.

Secara tiba-tiba, segala historiografi Islam yang pernah dipelajari dan dihadam menerawang dalam kotak fikiran. Perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat detik demi detik dalam mempertahankan Islam begitu meragut perasaan.

Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Perang Bani Khuza'ah, Perang Mu'tah, Perang Tabuk dan beberapa peperangan sudah cukup membuktikan pengorbanan besar baginda dan para sahabat. Sampai menutup mata, pejuang-pejuang Islam terus menegakkan syiar kesucian agama yang cukup indah ini.

Lamunan penulis tersentak seorang wanita terlanggar bahu penulis. Dengan langkah perlahan, penulis melewati satu sudut yang menempatkan serban Rasulullah.

Serban Nabi Muhammad

Bagaikan satu rezeki yang tidak diduga, penulis ditemukan dengan Pengurus Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA, Razali Bachik.

Seperti kata Razali, serban baginda berusia beribu-ribu tahun lamanya. Uniknya, ia masih kekal dalam bentuk asal. Hanya warnanya sahaja sedikit pudar.

Artikel Berkaitan:

Rasanya, jika beg tangan atau barangan yang diperbuat daripada fabrik atau kulit haiwan kepunyaan kita, mungkin sudah lama ia reput dimamah usia. Namun, hal itu tidak terjadi pada serban baginda. Rasulullah SAW mempunyai serban penutup kepala dengan ciri-ciri yang berlainan iaitu kopiah baginda diperbuat daripada kulit kayu, kain dan kulit unta.

Serban itu berwarna hitam dan hijau iaitu warna kegemaran baginda. Itu berdasarkan koleksi serban-serban Nabi Muhammad SAW. Panjang serban baginda melebihi 5 meter yang berwarna hitam dan hijau.

Setiap kali memakai mahmah (serban), baginda akan mengenakan qalasuah (kopiah). Pada masa-masa tertentu, baginda memakai qhitri (mafla atau selendang) pada bahu atau kepalanya ketika cuaca panas atau berdebu.

Serban itu diberikan kepada sahabat baginda, Mu'adz bin Jabal RA semasa beliau diperintahkan ke Palestin menyebarkan dakwah.

Busur

Langkah diteruskan dan secara langsung anak mata penulis memicing pandangan ke arah busur (panah) Rasulullah SAW yang terletak di tengah dewan di PWTC.

Tanpa berlengah, penulis mendekatinya dan ya, secara kebetulan penulis memang berminat dengan sukan memanah.

Busur itu kata Razali, pernah digunakan digunakan baginda untuk istiadat pelepasan perang.

Dengan panjang 152 sentimeter iaitu hampir menyamai ketinggian kebanyakan orang dewasa, busur itu mempunyai lima mata anak panah yang pernah digunakan untuk tiga peperangan. Busur yang diperbuat daripada kayu Al Ayusiyah mempunyai mata yang tajam.

Diceritakan bahawa Sultan Ahmad 1 (1603 - 1617) mempunyai bekas pelindung untuk menyimpan busur tersebut. Menariknya, bekas pelindung berkenaan dihiasi dengan emas dan perak dengan tulisan yang menghuraikan tentang busur seberat 286 gram itu dan kebaikannya.

Antara busur panah milik Nabi Muhammad SAW bernama Az Safra.

Dari mana asalnya? Menurut Ahmad Syaifillah menerusi Bogor Islamic Book Fair: "Busur panah ini berasal daripada buluh, maka diberi nama Az Safra."

Ia dikatakan berbentuk melengkung, berwarna coklat dan sedikit lebih tinggi daripada pedang Al Ma'thur.

Az Safra disimpan di dalam kotak kaca yang sama dengan pedang Al Ma'thur kerana ia barangan kepunyaan Nabi Muhammad SAW.

Darah bekam jadi tumpuan

Langkah kaki penulis beralih ke satu sudut lain. Penulis tertarik ke tempat itu kerana ramai yang mengerumuni bekas kaca yang menempatkan artifak darah bekam Rasulullah SAW.

Jika dilihat, darah itu seolah-olah masih lagi segar biarpun beribu tahun sudah berlalu. Jelaslah bahawa berbekam bukanlah sekadar rawatan biasa, bahkan sudah ada sejak zaman Rasulullah lagi. Malah, baginda SAW sendiri juga melakukan bekam.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda: "Tidaklah aku melawati sekumpulan malaikat pada malam aku diisra'kan, melainkan mereka (para malaikat) semua mengatakan kepadaku: "Wahai Muhammad, engkau harus berbekam." (Riwayat Tirmizi)

Selain itu, dalam satu hadis yang lain, baginda SAW bersabda: "Kesembuhan dapat diperoleh dengan tiga cara, pertama dengan meminum madu (dengan ubat herbal). Kedua, dengan berbekam dan ketiga dengan (terapi) besi panas dan aku tidak menganjurkan umatnya untuk melakukan pengubatan dengan besi panas." (Riwayat al-Bukhari).

Sesungguhnya, begitu banyak manfaat jika kita berbekam.

Menurut seorang kurator yang mengiringi penulis, Fatimah Dzulkefle, ada satu kisah tentang Malik bin Sinan iaitu ayah kepada Abu Al Khudri menelan darah Rasulullah SAW yang keluar daripada luka baginda SAW.

Jelas beliau, peristiwa itu berlaku ketika Perang Uhud. Ketika itu, beliau menyedut darah Nabi Muhammad SAW lalu baginda bersabda supaya Malik bin Sinan meludahkannya.

"Namun, Malik bin Sinan tidak sampai hati untuk berbuat demikian dan beliau kembali ke medan peperangan," ujarnya.

Baginda SAW kemudian berkata: "Barang siapa yang ingin melihat seseorang penduduk dari syurga, hendaklah ia melihat orang ini."

Malik bin Sinan kemudiannya mati syahid. Cerita itu benar-benar menjentik hati penulis. Betapa sayangnya Malik bin Sinan pada Rasulullah SAW sehingga sanggup menelan darah baginda.

PETUGAS pameran memberi penerangan kepada pengunjung pada Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA di PWTC, Kuala Lumpur.
PETUGAS pameran memberi penerangan kepada pengunjung pada Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA di PWTC, Kuala Lumpur.

Kain penutup makam baginda

Selepas lebih sejam mengamati setiap inci artifak yang dipamerkan, penulis mengarah ke satu lokasi yang kelihatan agak tertutup. Di situlah terletaknya kain penutup makam Rasulullah SAW.

Perasaan sayu terus menjengah sanubari. Dengan penuh ketelitian, penulis melihat kain tenunan yang diperbuat daripada kain sutera murni dimahkotai oleh sabuk yang menyerupai penutup Kaabah.

Satu perempat bahagian daripada kain tertulis ayat-ayat ALLAH yang mulia iaitu daripada Surah al-Fath. Ia dibuat daripada garis kapas dan benang emas serta perak.

Omar al-Midwahy menyebut bahawa penutup ruangan makam baginda Nabi Muhammad SAW tidak seperti penutup Kaabah yang saban tahun harus diganti. Ini kerana penutup makam baginda terletak di dalam ruangan tertutup dan tidak pernah disentuh oleh sesiapapun.

Penulis dimaklumkan, kali terakhir ia ditukar pada tahun 1971 Masihi dan ada riwayat mengatakan bahawa ia biasanya diganti selepas 100 tahun sekali.

Menurut taksiran, ruang makam Rasulullah SAW itu sekitar 48 meter persegi dengan ketinggian lebih kurang 11 meter.

Sesungguhnya, kunjungan penulis lebih sejam melihat artifak-artifak Rasulullah dan para sahabat membuatkan penulis terasa terasa begitu 'dekat' dengan baginda.

Meskipun hanya barang peninggalan, namun ia satu khazanah yang begitu berharga untuk kita sebagai umat Islam menyoroti historiografi Rasulullah SAW dan keperibadian baginda.

Jadi, penulis sarankan kepada pembaca yang masih masih belum berkesempatan, ayuh beramai-ramai ke pameran berkenaan. Tidak rugi berbuat demikian kerana ia merupakan manifestasi keunggulan Islam. Sentiasalah kita berselawat ke atas baginda.

"Sesungguhnya ALLAH dan Malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kalian untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzaab, ayat 56)

INFO

Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA

-Berlangsung selama 14 hari bermula 22 Julai hingga 4 Ogos ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

-Bertempat di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

-Ia dianjurkan oleh Manhajj Brothers Sdn Bhd.

-Selain artifak Rasullullah, ia turut menempatkan artifak para sahabat dan peninggalan Kerajaan Uthmaniyah seperti pedang Muaz bin Jabal, kunci dan baju perang.

-Semua artifak merupakan koleksi dari Makkah, Madinah, Yemen, Jordan dan Turki.

-Khazanah itu jarang dijumpai pada hari-hari biasa dan hanya boleh dilihat ketika pameran sebegini berlangsung.

-Pameran serupa akan menyusul di Muzium Sarawak pada bulan Oktober ini, sebelum ke Dubai dan Kanada pada tahun depan.

-Tiket masuk berharga RM20 untuk dewasa, RM10 untuk mahasiswa, manakala kanak-kanak pula RM5.