Empat buruh binaan dipukul, dirompak empat penjenayah

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat buruh binaan warga asing berdepan detik cemas apabila mereka dipukul sebelum rumah kongsi mereka dirompak empat penjenayah bersenjatakan parang dan pistol, dalam kejadian di Kampung Undang, di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu juga mengakibatkan mangsa yang berusia antara 20 hingga 44 tahun itu kehilangan empat telefon pintar, wang tunai RM540 dan dokumen peribadi milik mereka.

Menurut sumber, keempat-empat suspek datang ke rumah kongsi mangsa menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum dua daripada mereka meluru masuk ke dalam rumah, manakala salah seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah mangsa dan seorang lagi memegang parang.

"Suspek terus bertindak memukul mangsa sebelum memaksa mereka menyerahkan barang berharga yang ada.

"Susulan itu, mangsa memaklumkan kepada majikan mereka mengenai kejadian sebelum membuat laporan di Balai Polis Chendering, jam 11.44 pagi, hari sama,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kesemua mangsa yang terdiri daripada tiga warga Myanmar dan seorang warga Indonesia ini mempunyai permit kerja dan sudah lebih dua tahun bekerja sebagai buruh binaan di negara ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian samun membabitkan empat buruh warga asing terbabit.

"Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti dan mengesan suspek untuk tindakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata," katanya.

Artikel Berkaitan: