RM5 juta masuk akaun Najib elak UMNO dapat cek tendang: Saksi

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sejumlah RM5 juta dipindahkan pada September 2014 daripada akaun Putra Perdana Construction di Allianz Bank ke akaun Datuk Seri Najib Tun Razak di AmBank untuk memastikan cek yang dikeluarkan kepada UMNO tidak tendang.

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, mendedahkan perkara ini semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pada hari ke-46 perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit membaca transkrip perbualan Yu dengan ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa Low Taek Jho atau Jho Low, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Putra Perdana, Jerome Lee pada 10 September 2014.

Log perbualan menunjukkan bahawa Yu menghubungi Low pada pagi 10 September 2014 untuk memaklumkan kepadanya bahawa jumlah RM3.8 juta mesti dimasukkan ke akaun Najib pada pukul 3 petang pada hari yang sama.

Log juga menyebut bahawa cek RM5 juta itu perlu dikembalikan jika dia gagal berbuat demikian.

Harvinderjit: Low kemudian memberitahu anda untuk menghubungi Jerome bagi memindahkan dana ke dalam akaun... anda kemudian telah berkomunikasi dengan Lee sehingga sejumlah RM5 juta dipindahkan dari akaun Putra Perdana Construction di Allianz Bank ke dalam akaun Najib?

Yu: Ya.

Menurut log perbualan, Low mengarahkan Yu untuk memberitahu Jerome bahawa pemindahan dana tidak boleh dilakukan dari akaun Putra Perdana di AmBank.

Kepada soalan lain, saksi juga memberitahu bahawa cek masih dikeluarkan daripada akaun Najib walaupun dana dalam akaun itu tidak mencukupi.

"Saya memberitahu Low untuk memaklumkan kepada pemegang akaun supaya tidak lagi mengeluarkan sebarang cek dan juga memberitahunya bahawa Pengarah Urusan Kumpulan AmBank Ashok

Ramamurthy telah menghalang deposit tunai," katanya sambil menambah bahawa bagaimanapun, cek masih dikeluarkan.

Yu juga mengesahkan pemindahan 5.75 juta pound ke dalam akaun Najib di AmBank dari Vista Equity Partners Ltd, firma berkaitan Low, yang berpangkalan di Seychelles pada 2014.

Beliau berkata kedua-dua transaksi itu disebut sebagai "hadiah" dalam dokumen sokongan yang diberikan kepada AmBank dan transaksi itu tidak mencetuskan sebarang kewaspadaan.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. -Bernama