RM2.4 juta untuk pekebun durian di Terengganu

Zulkifli (dua kiri) melihat durian kampung milik Mohd Nawawi (kanan) yang berkualiti hasil penjagaan rapi di kebun pengusaha tersebut di Kampung Pengkalan Sentul
Zulkifli (dua kiri) melihat durian kampung milik Mohd Nawawi (kanan) yang berkualiti hasil penjagaan rapi di kebun pengusaha tersebut di Kampung Pengkalan Sentul
A
A
A

BESUT- Jabatan Pertanian Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM2.4 juta khusus kepada pengusaha tanaman durian di negeri ini.

Pemangku pengarahnya, Zulkifli Amin Yusof berkata, peruntukan tersebut disediakan kepada pemilik kebun durian sedia ada atau pemohon yang baru untuk mengusahakan tanaman durian secara komersial.

Menurutnya, peruntukan menerusi program kluster durian, skim tanaman semula buah-buahan terpilih dan sumber rezeki baru ini adalah bantuan dalam bentuk input dan peralatan kepada pemohon yang layak.

“Peruntukan yang disediakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah untuk membantu menjadikan durian sebagai sumber pendapatan lumayan kepada pekebun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat kebun durian Mohd Nawawi Salleh, 50 di Kampung Pengkalan Sentul, Jertih yang mengimplikasi teknologi dan pembajaan organik di dusunnya.

Hadir sama Pegawai Pertanian Besut, Norhazlini Ab Manan.

Zulkifli berkata, menerusi peruntukan tersebut, pihaknya turut memfokuskan kepada penggunaan teknologi terkini di kebun durian seperti penggunaan tenaga solar sebagai sumber bekalan elektrik untuk tujuan sistem pengairan di kebun durian.

Menurutnya, kebun durian yang berjaya salah satu cirinya ialah mempunyai bekalan air baik menerusi sistem siraman tertentu bagi menghasilkan durian berkualiti selain durian dapat berbuah sepanjang tahun iaitu dua kali setahun.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga menggalakkan pekebun menukar tanaman durian kampung lama kepada durian klon tanpa perlu menebang pokok asal sebaliknya melakukan cantuman dewasa untuk menghasilkan buah klon yang mempunyai harga pasaran yang baik,” katanya.

Tambah Zulkifli, usaha ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan negeri ini salah sebuah negeri yang menghasilkan durian berkualiti untuk tujuan eksport.

Sementara itu katanya, musim gugur durian di negeri ini sudah bermula dan kemuncaknya raja buah gugur dijangka bermula minggu ketiga Ogos ini.

“Sebanyak 50 peratus pengeluaran durian di negeri ini adalah dari daerah Besut iaitu membabitkan kebun durian seluas 1,104 hektar.

“Bagaimanapun pada musim ini, hanya 360 hektar kebun durian sahaja di Besut mengeluarkan hasil dengan hasil dijangka sekitar 1,600 metrik tan,” katanya.