'Reban ayam' runtuh, dua beranak nyaris maut

Bangunan tiga tingkat yang dalam proses ubah suai untuk dijadikan sebagai reban ayam runtuh secara tiba-tiba di Kampung Chenarai, Alor Pasir di sini.
Bangunan tiga tingkat yang dalam proses ubah suai untuk dijadikan sebagai reban ayam runtuh secara tiba-tiba di Kampung Chenarai, Alor Pasir di sini.
A
A
A

PASIR MAS - [DIKEMASKINI] Dua beranak yang sedang melakukan kerja pembinaan di tingkat tiga sebuah bangunan yang diubah suai untuk dijadikan reban ayam nyaris maut apabila binaan tambahan itu runtuh secara tiba-tiba, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang tadi, di Kampung Chenerai, di sini.

Akibat runtuhan itu, salah seorang mangsa, Mohd Zain Daud, 59, cedera parah di kepala serta patah kaki dan tangan, manakala anaknya yang dikenali sebagai Awang, 30-an, cedera ringan di bahagian kepala.

Menurut saksi kejadian, Mohamad Adam Muhammad, 20, ketika kejadian, dia sedang berehat di rumah yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum dikejutkan bunyi 'dentuman' kuat.

"Terkejut dengan bunyi itu, saya terus keluar dan nampak ada bangunan runtuh. Saya terus ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa telah teperangkap.

"Saya dan rakan-rakan bertindak pantas bantu keluarkan mangsa yang cedera parah. Masa tu mulut dia tak henti-henti mengucap sambil mengerang kesakitan," katanya.

Mohamad Adam berkata, bagaimanapun Awang hanya cedera ringan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Zon Kota Bharu Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Bomba Abu Hassan Mohd Nawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 petang.

"Seramai 12 anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun ketika kami tiba, mangsa telah dikeluarkan orang awam," katanya.

Katanya, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut.