Shafee berjaya ketepi prosiding komital diperoleh AG

Najib Razak
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini membenarkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mengetepikan perintah bagi tindakan menghina mahkamah (komital) yang diperoleh Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung kenyataan media yang dibuat peguam itu mengenai kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa permohonan yang difailkan oleh Tommy kurang jelas mengenai dakwaan penghinaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Firuz berkata, Peguam Negara selaku pemohon, mesti mengemukakan fakta-fakta yang adil kepada defendan untuk mengetahui apa yang didakwa dan bagi dia membuat permohonan kebenaran atau hujahannya.

Menurut Mohd Firuz dakwaan penghinaan terhadap Shafee tentang "scandalising the court" tidak terdapat dalam permohonan AG.

Sehubungan itu Mahkamah juga mengarahkan Tommy untuk membayar kos RM30,000.

Pada 1 Mac lalu, Mohd Firuz membenarkan permohonan yang dikemukakan Tommy untuk memulakan prosiding komital terhadap Muhammad Shafee secara sebelah pihak (ex-parte).

Peguam Negara berkata Muhammad Shafee adalah seorang peguam bela dan peguam cara, yang mewakili Najib (tertuduh), yang didakwa di Mahkamah Tinggi di sini atas beberapa kesalahan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, pada 7 Februari lalu, selepas selesai prosiding membabitkan tertuduh di Mahkamah Tinggi, defendan diwawancara beberapa wartawan di luar kamar mahkamah dan ia dirakam oleh seorang juruvideo dari Kinitv.com serta disiarkan oleh Kinitv yang boleh dilayari di https://m.kinitv.com/video/70311O8.

Tommy mendakwa defendan mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa kenyataannya yang menyinggung perasaan itu adalah menghina hakim dan boleh menjejaskan pelaksanaan keadilan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Beliau berkata defendan mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa kenyataannya yang menyinggung perasaan itu sudah tentu akan, dengan secara jelas, meletakkan hakim perbicaraan pada satu kedudukan yang memalukan dan mewujudkan satu ketidaktentuan mengenai keadilan dan kesaksamaan keputusan kes jenayah itu.

Beliau mendakwa kata-kata itu dituturkan dengan sengaja oleh defendan dengan niat hendak cuba memberi tekanan dan mempengaruhi keputusan mahkamah dalam kes jenayah itu.