Tiada 'Ghost Smoke' dijual di Perlis

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Tiada penjualan gula-gula berasap 'Ghost Smoke' dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah berkata, pihaknya amat serius membantu dan menangani isu-isu membabitkan pengguna tidak kira apa jua perkara.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke semua peringkat perniagaan, iaitu borong dan runcit di Perlis sejak 23 Julai lepas sehingga semalam.

"Bagaimanapun, tiada premis perniagaan dikesan membuat penjualan gula-gula itu dalam pemeriksaan ke atas 125 premis dalam tempoh berkenaan.

"Kita akan terus melakukan pemeriksaan, sekali gus berharap semua peniaga tidak menjual produk gula-gula berasap terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang awam turut digesan menyalurkan maklumat dan membuat aduan jikalau mendapati ada premis menjual gula-gula berasap di premis mereka.

"Kalau ada peniaga terbukti menjual produk tersebut, maka tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Sebelum ini, video memaparkan beberapa murid sekolah rendah di Papar, Sabah, menghembuskan asap seakan-akan rokok selepas makan gula-gula mencetuskan kebimbangan masyarakat terutama di kalangan ibu bapa.

Artikel Berkaitan: