Itu peribadi, bukan wakili Amanah

Razali (depan,kiri) menunjukkan salinan laporan Sinar Harian berkaitan isu kenyataan oleh Aliff, semalam.
Razali (depan,kiri) menunjukkan salinan laporan Sinar Harian berkaitan isu kenyataan oleh Aliff, semalam.
A
A
A

CHERAS - Ketua-ketua Cawangan Penaja Amanah Cheras terus mempersoalkan kapasiti kenyataan Ketua Penyelaras Amanah Cheras, Datuk Aliff Tafid dalam satu himpunan di Putrajaya, baru-baru ini.

Wakilnya, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, isu dan pertikaian dalam perkara ini adalah disebabkan kenyataan Aliff bersifat peribadi namun dibuat atas kapasiti dan kedudukan dalam Amanah yang dibimbangi mendorong kepada persepsi salah terhadap pendirian parti.

"Kita tak pertikai soal berapa cawangan dia nak buka, isunya ialah kenapa Aliff Tafid berada dalam program himpunan itu atas kapasiti sebagai Ketua Penyelaras Amanah Cheras, seolah-olah mewakili suara Amanah Cheras.

"Tindakan beliau seperti kita semua di Cheras bersama dia, sedangkan kita semua tidak mahu bersama (tidak sependapat) dengan kenyataannya semasa himpunan di Putrajaya, itu saja.

"Jika kami tidak persoalkan, ia memberi persepsi kami sependapat dengannya (kenyataan ketika himpunan), walhal tidak," katanya ketika sidang media.

Menurutnya, jika berkaitan isu penyatuan cawangan mereka tiada masalah untuk bersama Aliff, tapi dalam isu pandangan dan kenyataannya (tempoh hari) tidak mewakili Amanah Cheras.

Razali berkata, setiap kenyataan melibatkan pendirian parti dalam sesuatu isu seharusnya datang daripada pimpinan Amanah peringkat negeri atau pusat.

"Paling mustahak sebagai ahli adalah mengikut dasar parti, bukannya ikut dasar peribadi. Jika ada pandangan mahu disuarakan secara umum, sepatutnya berbincang dahulu dengan pimpinan parti bukannya sesuka hati keluarkan pandangan menggunakan kapasiti dalam parti.

Artikel Berkaitan:

"Justeru kami Ketua-ketua Cawangan Penaja Amanah Cheras menggesa Biro Disiplin dan Tatatertib mengambil tindakan terhadap tindakan Aliff yang dilihat menyuarakan pandangan peribadi tetapi menggunakan kapasiti parti Amanah," katanya.

Terdahulu, Aliff tampil mempertahankan kenyataan dan tindakannya menyertai Himpunan Keadilan Untuk Adib di atas kapasitinya sebagai pimpinan Amanah peringkat Cawangan.

Sementara itu, Razali turut mempertahankan dakwaan mereka sebelum ini di mana jawatan Ketua Penyelaras Amanah Cheras tidak wujud secara rasmi.

'Kami juga sekali lagi menegaskan bahawa jawatan Ketua Penyelaras Amanah Cheras tidak wujud secara rasmi.

"Soal Aliff dakwa dia yang mula buka cawangan di Cheras itu bukan isunya, tetapi yang kami kata tak wujud itu adalah jawatan itu. Jika wujud dia boleh buktikan dengan surat lantikan rasmi dari pimpinan Amanah negeri atau pusat," katanya.