X

Kindly register in order to view this article
!

'Rekod kemenangan 2-1 ke atas PKNS bukan kayu ukur'

Kemenangan 2-1 pasukannya ke atas PKNS FC pada perlawanan Liga Super yang lepas sebagai alasan untuk kekal selesa. Foto Bernama
A
A

KUALA NERUS - Jurulatih sementara Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain tidak mahu menjadikan kemenangan 2-1 pasukannya ke atas PKNS FC pada perlawanan Liga Super yang lepas sebagai alasan untuk kekal selesa.

Sebaliknya, beliau menuntut pemain terus bangkit dan memperbaiki pelbagai kelemahan yang ada sebagai persediaan menghadapi perlawanan pertama saingan Piala Malaysia dengan pasukan Semut Merah itu Jumaat ini.

Katanya, walaupun TFC berjaya mencatat keputusan seri 1-1 di laman sendiri dan menewaskan PKNS 2-1 di Selangor pada perlawanan liga, Piala Malaysia adalah gelanggang berbeza kerana setiap perlawanan penting untuk mendapatkan mata.

"Perancangan saya setakat ini berjalan seperti biasa dan harapan pastinya supaya pemain dapat fokus serta atasi kelemahan yang ada pada liga sebelum ini.

"Dengan ketiadaan ramai pemain utama termasuk Lee Tuck yang digantung satu perlawanan kerana dilayangkan kad merah, pemain lain perlu beri komitmen lebih tinggi bagi memenangi perlawanan," katanya kepada pemberita di Stadium Gong Badak semalam.

Menurut Nafuzi, Terengganu juga tidak boleh 'membuang' mata jika berhasrat untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dan perlu menggunakan kesempatan perlawanan pertama di laman sendiri Jumaat ini untuk mengutip tiga mata berharga.

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata saingan Piala Malaysia musim ini pastinya memberi sedikit tekanan kepada pasukannya memandangkan status TFC sebagai naib juara Piala Malaysia musim lepas.

Bagaimanapun, beliau serta pemainnya berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk membawa pasukan ke pentas perlawanan akhir seperti musim sebelum ini.

"Jangkaan daripada penonton atau peminat bola sepak terhadap TFC pastinya tinggi dan ia bukan satu tugas mudah kerana kita berdepan dengan tiga pasukan kuat iaitu PKNS FC, Negeri Sembilan dan juara Piala FA, Kedah.

"Bagaimanapun, ia bukanlah perkara mustahil kerana jika pemain memberikan sepenuh komitmen, saya yakin peluang itu tetap ada," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!