Cara merapatkan hubungan buat pasangan PJJ

No Image Caption
A
A
A
BUAT pasangan yang tinggal berjauhan, memang banyak pancarobanya. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai anak dan terpaksa menguruskan si kecil sendirian.

Apabila hal-hal itu terjadi, lazimnya perasaan sukar dikawal, kesetiaan pula menjadi semakin goyah. Namun, tidak boleh dinafikan, terdapat pasangan yang kekal bahagia meskipun berpuluh-puluh tahun tinggal berjauhan.

Bagaimanapun jumlah yang bercerai-berai juga pun tinggi statistiknya. Memang diakui hal berkaitan hubungan terlalu subjektif untuk dinilai. Sama ada suami atau isteri, kedua-duanya harus sama-sama menggembleng peranan bagi memastikan kasih sayang dan masjid yang dibina kekal.

Sehubungan itu, menerusi Tip Keluarga kali ini, Keluarga Femina kongsikan 10 petua bagaimana pasangan yang tinggal berjauhan atau PJJ dapat mengekalkan keharmonian hubungan dan rumahtangga. Semoga ia membantu!

1) Kerap bertanya khabar

Luangkan masa untuk bertanya khabar pasangan atau berkenaan aktiviti seharian mereka. Jangan mendiamkan diri dan saling berharap pasangan akan menghubungi anda.

2) Cerita perkembangan diri

Kongsi rutin harian atau peristiwa yang berlaku dalam keluarga. Jadilah pendengar yang setia tatkala pasangan bercerita.

3) Rancang percutian bersama

Artikel Berkaitan:

Cari waktu yang sesuai untuk pergi bercuti bersama pasangan termasuk anak-anak. Jadikan percutian itu waktu istimewa anda meluangkan masa bersama.

4) Buat kejutan

Raikan hari ulang tahun perkahwinan atau hari lahir pasangan anda dengan membuat kejutan. Momen itu pasti akan terpahat dalam ingatannya setiap kali anda berdua berjauhan.

5) Ketepikan sikap ego

Buang sikap ego setiap kali terjadinya perbalahan. Sikap itu hanya akan merosakkan hubungan istimewa anda bersama pasangan.

6) Saling memahami

Jangan sesekali berprasangka negatif terhadap pasangan jika dia jarang menghubungi anda. Fikir positif mungkin pasangan anda sibuk dengan tugasan.

7) Setia dan jujur

Tinggal berjauhan bukanlah satu tiket untuk seseorang bebas berpancaran atau keluar dengan mana-mana lelaki dan wanita. Sentiasa bersikap jujur pada pasangan dan ingat status sebagai isteri atau suami orang.

8) Luahkan perasaan kepada pasangan

Jika terdapat sesuatu yang membuatkan anda tidak berpuas hati dengan pasangan, jangan pendam di dalam hati. Sebaliknya, luahkan dan kongsikan apa yang anda rasai atau lalui.

9) Jangan mengongkong

Jangan terlalu mengongkong pasangan dengan syak wasangka yang bukan-bukan. Biarkan pasangan melakukan aktiviti disukainya selagi tahu menjaga batas-batasnya.

10) Jangan cemburu buta

Jika pasangan kita bercerita tentang rakan sekerja berlainan jantina, jangan cepat cemburu. Cemburu buta hanya akan merosakkan hubungan anda berdua.