Kelantan tolak cadangan dikriminalisasi penagih dadah

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan negeri tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan yang mahu melaksanakan dikriminalisasi ke atas penagih dadah di negara ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, isu yang timbul kini adalah penagih dadah itu sendiri yang terjebak dengan penggunaan bahan terlarang itu sehingga ia dianggap sebagai satu jenayah.

“Dalam keadaan kita menganggap penyalahgunaan dadah sebagai satu jenayah, kita tetap tidak dapat membendung aktiviti itu. Kalau kita laksana dikriminalisasi, kemungkinan kes dadah akan lebih serius, sebab itu kita tidak setuju dengan cadangan kerajaan untuk dikriminalisasi.

“Kekalkan penyalahgunaan dadah ini sebagai satu jenayah. Sebab kalau kita longgarkan lagi syarat, maka penagihan dadah akan terus meningkat. Dalam keadaan ia dianggap sebagai satu jenayah pun benda ini kita tidak boleh kawal.

“Jumlah penagihan dadah terus bertambah walaupun kerajaan sendiri ada beberapa program untuk mengatasi penyalahgunaan dadah,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai isu tersebut selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mendakwa penagih dadah di negara kini tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Takrifan itu dicapai susulan perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan yang bersetuju untuk melaksanakan dikriminalisasi ke atas penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan dikriminalisasi itu akan melibatkan program rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan ahli keluarga dan masyarakat.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, penggunaan undang-undang sedia ada perlu dikekalkan, selain perlu juga usaha lain untuk memulihkan keadaan.

“Sekarang ini kita tengok, dalam penguatkuasaan pun, banyak ‘ikan bilis’ yang kena. ‘Orang besar’ yang terlibat dalam jualan dan pengedaran ini terlepas pula. Itu yang kita tidak boleh selesaikan. Kena ada satu tindakan yang berkesan untuk selesaikannya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri dalam membendung aktiviti tersebut, Mohd Amar berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk melakukan perbincangan.

“Kita setiap masa terbuka untuk berbincang, kalau pusat tidak datang bincang dengan kita, maka kita pun susahlah untuk bagi pandangan. Tapi kerjasama itu memang kita sedia.

“Dulu timbul isu untuk bina tembok dan menteri besar pun setuju. Sebab itu salah satu cara untuk kita mengatasi pengedaran dadah.

“Sebab kita tahu pengedaran dadah ini daripada negara jiran dan masuk melalui sempadan terutamanya laut. Memang sukar untuk dikawal. Sebab itu Kelantan ramai penagih dadah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Penagih dadah perlu dirawat bukan dihukum