Lelaki maut, motosikal dirempuh kereta

Anggota polis ketika memeriksa kejadian berkenaan
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas motosikal dinaikinya dirempuh sebuah kereta dalam satu kejadian di Kilometer 44.35 Lebuhraya Senai-Desaru, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Suprintendan Ismail Dollah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa, Aliff Nazme Azman, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah kereta dari arah Kota Tinggi menghala ke Johor Bahru gagal mengelak motosikal mangsa yang dilaporkan dalam keadaan melintang di laluan berkenaan.

"Perlanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ismail berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati laluan itu adalah jalan lurus dengan kemudahan dua lorong tetapi agak gelap kerana tidak mempunyai lampu.

"Kemalangan berlaku pada waktu malam, bagaimanapun permukaan jalan adalah kering dengan cuaca yang baik. Keadaan lalu lintas juga tidak sesak.

"Polis mengalu-alukan bantuan saksi untuk membantu siasatan kerana tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat manakala pemandu kereta berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.