Selangor lulus RM6 juta pembangunan luar bandar

Rodziah Ismail
Rodziah Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM6 juta telah diluluskan kerajaan negeri untuk kepentingan pembangunan luar bandar.

Ia melibatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, asas luar bandar, naik taraf jalan luar bandar, longkang, dewan serbaguna, balai raya dan lain-lain.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata kerajaan negeri sentiasa komited supaya peruntukan bagi pembangunan luar bandar ini diteruskan setiap tahun.

"Ia termasuk melibatkan kerja bagi naik taraf dan baik pulih dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kemudahan luar bandar ini dalam keadaan baik.

"Mengenai mekanisme pelaksanaan pula, setiap lapisan masyarakat sama ada rakyat, ketua kampung ataupun YB boleh menyalurkan aduan kepada pejabat daerah dan tanah yang merupakan agensi penghubung antara kerajaan negeri dan juga penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib Hasnul Baharuddin ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.

Dalam masa sama, katanya pejabat daerah dan tanah kemudiannya akan menyemak aduan tersebut dan seterusnya membuat permohonan kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk kelulusan.

"Ini adalah untuk memastikan permohonan bagi pelaksanaan pembangunan luar bandar dilaksanakan dengan tersusun termasuklah mengambil kira peruntukan sedia ada dan kepentingan projek kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga ada menyediakan inventori bagi jalan-jalan luar bandar dan kampung bagi seluruh Selangor," katanya.

Jelasnya, pejabat daerah dan tanah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mendaftarkan jalan-jalan di bawah seliaan masing-masing bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraandan naik taraf dapat dilaksanakan.

"Sebanyak RM2 juta diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen, sehubungan itu setiap ADUN boleh bekerjasama dengan Ahli Parlimen kawasan masing-masing dalam perkara ini.

"Setiap tahun peruntukan MARRIS yang disediakan oleh Kementerian Kewangan akan disalurkan kepada pejabat daerah dan tanah serta PBT untuk kerja-kerja penyelenggaraan," katanya.