Polis edar lakaran wajah suspek kes ragut, tikam guru

Muhammad Izzudin (tengah) menunjukkan lakaran wajah suspek. (Gambar kecil: Lakaran wajah suspek kes ragut.)
Muhammad Izzudin (tengah) menunjukkan lakaran wajah suspek. (Gambar kecil: Lakaran wajah suspek kes ragut.)
A
A
A

BATU PAHAT – Polis daerah ini mengeluarkan lakaran wajah seorang suspek yang menikam seorang guru dalam satu kes cubaan ragut di sebuah pasar raya di Taman Flora Utama, di sini, pada 26 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Runggai berkata, lakaran wajah suspek yang berumur lingkungan 30-an itu dihasilkan berdasarkan keterangan mangsa yang berumur 57 tahun.

“Kami meminta kerjasama orang ramai atau saksi lain yang mengenali suspek supaya berhubung segera dengan polis bagi membantu siasatan kes ragut ini kerana maklumat yang diperolehi setakat ini sedikit kurang.

“Mangsa juga telah dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat selepas mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan pada bahagian dada, perut dan tangan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 8 malam, mangsa yang ingin masuk ke dalam keretanya telah didatangi oleh suspek yang cuba meragut beg tangan mangsa sebelum berlaku pergelutan apabila mangsa enggan melepaskan beg tangannya itu.

Katanya, keadaan di lokasi kejadian juga terlindung daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain keadaan yang gelap sehingga membuka ruang dan peluang kepada penjenayah untuk melakukan perbuatan jenayah.

“Kami telah meminta pengurusan pasar raya tersebut untuk menambah lagi pencahayaan di sekitar kawasan letak kereta dan rondaan pengawal keselamatan dengan lebih kerap kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang.

“Selepas kejadian juga, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah melakukan operasi menangkap penagih dadah dan individu berkeliaran di daerah ini bagi memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini terjamin,” katanya.

Artikel Berkaitan: