Barang kemas RM700,000 dilarikan perompak

Sebuah kedai emas di pasar raya di Bandar Seri Putra, Bangi disamun sekumpulan penjenayah dalam kejadian malam tadi.
Sebuah kedai emas di pasar raya di Bandar Seri Putra, Bangi disamun sekumpulan penjenayah dalam kejadian malam tadi.
A
A
A

BANGI - Sebuah kedai emas di pasar raya di Bandar Seri Putra di sini kerugian RM700,000 selepas disamun sekumpulan penjenayah bersenjata semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 8.44 malam memaklumkan empat lelaki bertopi keledar bersenjatakan objek menyerupai pistol dan tukul besi.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat tiga pekerja sedang bertugas dan enam pelanggan termasuk seorang kanak-kanak, namun tidak melibatkan sebarang kecederaan.

"Seorang pengawal keselamatan tidak bersenjata yang berada di premis tersebut tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut kepada suspek yang mengacukan objek menyerupai pistol kepadanya.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku dalam tempoh lebih kurang lima minit serta suspek dilihat menggunakan laluan pintu utama semasa masuk dan keluar dari pasar raya tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, suspek berjaya melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM700,000 dalam kejadian yang pertama berlaku di premis itu sejak mula beroperasi sejak tiga tahun lalu.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata," katanya.

Mohd Sabri berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh ditalian 019-2714100.

Artikel Berkaitan: