Pemandu lori didenda RM5,000 pindah kambing tanpa kebenaran

Ibrahim (baju putih) ketika keluar daripada kamar perbicaraan, di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori sambilan diperintahkan membayar denda RM5,000 selepas mengaku bersalah memindahkan sejumlah kambing dan biri-biri hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor, bulan lalu.

Ibrahim Salleh, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Ibrahim juga turut diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa 40 ekor kambing dan 20 biri-biri hidup dengan menggunakan sebuah lori tanpa perakuan serta kebenaran daripada pengarah atau wakil Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Johor.

Difahamkan, perkara itu adalah berikutan sebarang pemindahan perlu mendapatkan perakuan bagi memastikan kawalan wabak penyakit kuku dan mulut tidak mudah menular di negeri ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.45 pagi pada 27 Jun lalu di tepi Jalan Dato Onn Utama dalam Daerah Johor Bahru yang mana telah diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut.

Bagi pertuduhan itu, Ibrahim didakwa melakukan kesalahan melanggar kehendak peruntukan Perenggan 2(a)(iii) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Negeri Johor 2005 (J.P.U 10) dan boleh dihukum di bawah Sub Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013.

Kesalahan berkenaan boleh memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 jika didapati bersalah.

Kes dikendalikan Pendakwa Raya Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Johor, Mohd Faiz Ajis manakala tertuduh tidak diwakili sebarang peguam.