Peningkatan jualan Perodua melebihi sasaran


ZAINAL ABIDIN
ZAINAL ABIDIN
A
A
A

MENCATAT prestasi baik, hanya dalam tempoh separuh pertama 2019, syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berjaya melariskan kira-kira 121,800 kenderaannya.

Peningkatan berkenaan mencecah empat peratus daripada 117,100 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lepas, disokong oleh permintaan memberangsangkan bagi semua model.

Dari Januari hingga Jun lalu, sekitar 190,765 tempahan telah diterima.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad (gambar) berkata, peningkatan itu merekodkan jualan lebih tiga peratus daripada 184,949 tempahan dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan permintaan bagi kenderaan Perodua dalam tempoh enam bulan pertama 2019 memberi kesan positif terhadap ekosistem automotif secara keseluruhan. Pembelian komponen berjumlah RM2.7 bilion dalam tempoh itu.

“Berdasarkan unjuran untuk separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM5.4 bilion untuk membeli komponen sepanjang 2019. Syarikat mencapai satu tahap di mana kami berusaha keras untuk membina jenama kami di luar negara secara berperingkat dan berterusan.

“Bagaimanapun, usaha itu memerlukan masa yang panjang dan berharap Perodua dapat membanggakan rakyat Malaysia,” katanya pada sesi taklimat prestasi separuh pertama 2019 syarikat itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perodua meningkatkan sasaran jualannya pada tahun ini kepada 235,000 unit. Peningkatan sebanyak 4,000 unit daripada sasaran awal 231,000 unit seperti yang diumumkan Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2018, Perodua menjual 227,243 kenderaan yang mana merupakan pencapaian jualan tahunan tertinggi dalam sejarahnya.