'Tidak cukup hanya sekadar aktif'

A
A
A

SELAIN penyakit-penyakit kronik, obesiti juga boleh menjejaskan keperluan tidur yang merupakan rutin harian seorang manusia.

Antara puncanya ialah masalah kegemukan. Ia merupakan penyebab gangguan tidur serius atau Obstructive sleep apnea (OSA) dan sindrom hipoventilasi dalam kalangan kanak-kanak.

Kajian obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan OSA yang diterbitkan dalam Journal of Nutrition and Metabolism 2012 mendapati 60 peratus kanak-kanak obes mengalami OSA.

DAPATKAN rawatan untuk atasi obesiti.
DAPATKAN rawatan untuk atasi obesiti.

OSA boleh dikenalpasti melalui bunyi dengkur dan halangan (separuh atau sepenuhnya) yang berulang kali berlaku pada bahagian atas salur udara seseorang, kata Pakar Pernafasan Pediatrik dan Perubatan Tidur, UMSC, Dr Eg Kah Peng.

"Dalam kalangan kanak-kanak obes, salur udara menjadi sempit disebabkan jumlah lemak yang banyak pada bahagian leher. Ini menyebabkan penurunan dalam pernafasan dan mengganggu tidur.

"Apabila mempunyai terlalu banyak lemak di sekitar abdomen dan dada, pernafasan menjadi sukar dan berlakunya hipoventilasi,” kata Dr Kah Peng.

Menurutnya, masalah pernafasan itu boleh membawa paras oksigen yang sedikit dan karbon dioksida yang banyak dalam darah kanak-kanak semasa tidur. Kelak, ia boleh memberikan kesan tidak baik kepada kesihatan dan kualiti kehidupan mereka.

Artikel Berkaitan:

Lazimnya, anak-anak yang mengalami masalah tidur akan berdengkur kuat dan sukar bangun daripada tidur selain sering sakit kepala dan mengantuk pada waktu siang.

"Ada yang boleh tertidur dengan mudah ketika sedang duduk pada waktu siang jika masalah tidur mereka amat teruk," katanya.

Langkah penting

Dalam pada itu, menurut Dr Kah Peng, kekurangan oksigen dalam darah untuk jangka masa panjang boleh mengakibatkan kegagalan jantung dan kemerosotan awal ingatan.

Beberapa kajian dalam kalangan orang dewasa yang mengalami OSA menunjukkan mereka berisiko tinggi untuk menghidap penyakit Alzheimer.

Dr Kah Peng berkata, terdapat ubat-ubatan dan peralatan bagi merawat dan melegakan simptom OSA dan hipoventilasi bagi memperbaiki kualiti tidur dan mengurangkan komplikasi.

"Namun, langkah yang paling penting adalah merawat punca kepada masalah itu. Pesakit perlu mengurangkan berat badan jika tidak mahu bergantung kepada ubat-ubatan dan peralatan itu selama-lamanya,” kata yang turut berkongsi kes seorang kanak-kanak lelaki obes yang meninggal dunia semasa tidur.

Kanak-kanak itu katanya, didiagnos mengalami OSA yang sangat teruk dan dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan. Pun begitu, ibu bapanya tidak bersungguh-sungguh dalam proses rawatan itu dengan tidak menghadiri sesi lawatan susulan.

"Ibu bapanya tidak mahu mencuba dan memberikan alasan yang anak mereka tidak mahu mendapatkan rawatan, ditambah dengan kesukaran mereka ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Malang sekali, apabila anak mereka dihantar ke hospital akibat keadaan kritikal, beliau tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Dietetik dan Pakar Dietetik Klinik, Rozanna M Rosly berkata, ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan aktif dalam usaha mengawal obesiti anak-anak sebagai langkah pencegahan dan pengurusan.

AMALKAN gaya hidup sihat.
AMALKAN gaya hidup sihat.

Beliau berkata, mereka perlu diberikan kesedaran tentang kepentingan diet seimbang selaras dengan usia dan jantina serta nutrisi penting bagi merangsang tumbesaran yang optimum dan aktiviti fizikal untuk anak-anak mereka.

"Ibu bapa selalu berkata bahawa anak mereka ‘aktif’ dan soalan saya selalunya ‘berapa lama dan berapa kerap serta apakah senaman aktif yang anak lakukan," katanya kepada Bernama.Menurutnya, dalam hal ini, anak yang aktif belum memadai kerana ibu bapa perlu menumpukan perhatian kepada kalori, lemak, protein dan nutrisi penting lain yang perlu diambil anak-anak sesuai dengan usia dan jantina mereka.

"Pada masa sama, anak-anak juga perlu menyumbang kepada usaha ini," tegasnya.

Anak-anak perlu dididik untuk mengenali makanan yang perlu mereka makan dalam hidangan utama dan snek selain perlu diberitahu bahawa mereka tidak memerlukan kalori atau bahagian tambahan semasa makan.

ANEKDOT

OBESITI kanak-kanak

Punca obesiti:

1. Persekitaran ialah faktor utama.

2. Genetik

Apabila ibu bapa gemuk, anak mempunyai risiko tinggi menjadi gemuk kerana persekitaran dan faktor genetik yang sama.

Faktor genetik tidak boleh diubah. Oleh itu, kita perlu menumpu kepada faktor persekitaran untuk mencegah obesiti.

Kanak-kanak obes terdedah risiko:

1. Diabetes Mellitus Jenis 2

Boleh berlaku seawal lapan tahun.

2. Tekanan darah tinggi

Tekanan berpanjangan membebankan jantung dan bawa kerosakan kepadanya.

3. Masalah hatiHati berlemak (NASH) boleh membawa kepada kegagalan fungsi hati.

4. Kekurangan oksigen semasa tidur Disebabkan rongga pernafasan yang tersekat (Obstructive sleep apnea). Sering berdengkur boleh menyebabkan kematian jika tahap kekurangan oksigen merosot.

5. Batu karang pada pundi hempedu (Gallstones)

6. Kerosakan sendiBerat berlebihan sepanjang masa memberi kesan pada sendi kaki.

7. Sindrom metabolik, risiko sakit jantung

Kombinasi masalah kolesterol, tekanan darah tinggi dan paras glukos tidak normal.

8. Penyakit Jantung

-Atherosclerosis (perubahan pada dinding pembuluh darah) terutama pada mereka yang mengalami sindrom metabolik.

9. Masalah haid –Kanak-kanak perempuan obes sering mengalami akil baligh lebih awal daripada yang biasa. Mereka juga mempunyai risiko fibroid pada rahim dan masalah kitaran haid apabila dewasa.

10. Menjadi dewasa yang gemuk

11. KemurunganKurang keyakinan diri. Boleh menyebabkan masalah susah tidur, kurang aktif, makan berlebihan dan seterusnya menambahkan lagi berat badan pesakit obes.

Cara atasi obesiti:

- Kurangkan berat badan.

- Kegiatan fizikal setiap hari, sekurang-kurangnya satu jam.

- Senaman yang baik sepatutnya melibatkan pergerakan sendi dan penggunaan otot.

- Hadkan aktiviti sedentari, tidak boleh melebihi dua jam sehari (video atau wayang, permainan video, aktiviti komputer). Ini tidak termasuk ulangkaji dan kerja sekolah.

- Makan lima hidangan sayur dan buah setiap hari.

- Makan mengikut masa iaitu sarapan, tengah hari dan malam. Tanpa sarapan, anak akan terlalu lapar menyebabkan mereka terlebih makan kemudiannya.

- Tidak meletakkan televisyen di bilik tidur anak.

TABIAT gemar bermain gajet boleh menjadi punca kanak-kanak gemuk.
TABIAT gemar bermain gajet boleh menjadi punca kanak-kanak gemuk.



Sumber: www.myhealth.gov.my

Cara mengatasi bayi terlebih gemuk:

- Berjumpa doktor untuk khidmat nasihat.

- Memberikan susu ibu.

- Elakkan susu formula.

- Memperkenalkan makanan dengan sukatan pada tempoh dan kadar tepat.

- Pilih makanan sihat.

- Adaptasi perilaku sihat. Makan hanya pada waktunya dan bila lapar.

- Ajak banyak bergerak.

Sumber: www.motherandbaby.co.id