90 peratus tahanan etnik Islam di China dibebaskan?

Kem pendidikan semula untuk membendung ekstremisme di China diperluaskan sejak 2017.
Kem pendidikan semula untuk membendung ekstremisme di China diperluaskan sejak 2017.
A
A
A

BEIJING - Kebanyakan penduduk etnik Islam yang ditahan di bawah program kem pendidikan semula yang diperluaskan sejak 2017 bertujuan untuk membendung ekstremisme di wilayah barat China didakwa sudah dibebaskan.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat pegawai kanan China semalam, namun beliau tidak memberikan butiran atau jumlah terutama untuk menyokong kenyataan tersebut.

Timbalan Pengerusi kerajaan wilayah Xinjiang, Alken Tuniaz berkata, 90 peratus yang ditahan di pusat latihan vokasional sudah kembali ke pangkuan keluarga.

Sebelum ini, tahanan yang dibebaskan dari kem terbabit mendakwa mereka menjadi sasaran program indoktrinasi bertujuan untuk menghapuskan kesetiaan terhadap Islam dan menggalakkan sumpah setia terhadap China dan Parti Komunis.

Langkah yang dibuat bahagian perhubungan awam kerajaan China yang diumumkan menerusi taklimat bersama pegawai wilayah adalah isyarat paling jelas bahawa pegawai di Beijing cuba untuk meredakan kritikan antarabangsa terhadap langkah penahanan di Xinjiang yang didiami lebih 11 juta penduduk Uighur dan minoriti Islam.

“Ketika ini, majoriti mereka yang menjalani latihan dan pendidikan semula telah pulang ke kampung halaman masing-masing. Kebanyakan mereka juga berjaya mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi kerajaan Xinjiang, Shohrat Zakir turut mengesahkan sehingga 90 peratus tahanan kini bebas.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak jelas dan menimbulkan tanda tanya banyak pihak yang masih ragu-ragu kerana kebanyakan bekas tahanan itu dipercayai masih berdepan sekatan atau dipaksa bekerja di kilang.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan China tidak jelas

Aktivis Uighur berpusat di Washington, Tahir Imin turut ragu-ragu dengan pengumuman tersebut.

“Penduduk Uighur di luar negara masih tidak dapat menghubungi saudara mereka di wilayah terbabit. Tiada panggilan telefon, tiada komunikasi menerusi sambungan internet. Kami tidak pasti siapa sebenarnya yang mereka bebaskan,” katanya.

Gulnur Kosgeulet menunjukkan gambar suaminya, Ekpor Sorsenbek yang dipercayai ditahan di kem pendidikan semula di Xinjiang.
Gulnur Kosgeulet menunjukkan gambar suaminya, Ekpor Sorsenbek yang dipercayai ditahan di kem pendidikan semula di Xinjiang.

Imin juga menggesa pihak berkuasa menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas wilayah Xinjiang dan membenarkan pihak bebas mengesahkan situasi tersebut.

“Jika kerajaan China jujur dan yakin dengan apa yang mereka perkatakan di media, mereka perlu membenarkan penduduk di wilayah tersebut berkomunikasi dan bergerak secara bebas selain membenarkan media bebas untuk melakukan lawatan dan menyiasat keadaan di wilayah terbabit,” katanya.

Menurutnya, masih terdapat ramai individu yang hilang di seluruh wilayah terbabit termasuk pemimpin agama, golongan intelektual, ahli perniagaan dan petani.

“Kami mempunyai bukti dan fakta kukuh menunjukkan hanya wanita, warga emas dan kanak-kanak yang tinggal. Kebanyakan yang ditahan di pusat kemudahan itu adalah lelaki,” katanya

Sehingga kini, pihak berkuasa enggan menyatakan angka sebenar tahanan yang ditempatkan di kem tersebut dan jumlah mereka dibebaskan atas alasan sukar untuk membuat anggaran.

Kerajaan barat, pakar hak asasi manusia PBB dan penyokong etnik Uighur berulang kali mengutuk sekatan semakin tegas terhadap golongan itu di bawah pemerintahan Presiden Xi Jinping.

Sejak Oktober lalu, pegawai kerajaan mula mengakui kewujudan kem tersebut dan turut mempertahankan fungsinya apabila banyak pihak melihat ia sebagai pusat kemudahan seperti penjara.

Awal bulan lalu, kumpulan terdiri daripada 22 negara termasuk Australia, Britain, Kanada, Perancis dan Jerman mengeluarkan kenyataan mendesak China menghentikan penahanan besar-besaran terhadap penduduk Uighur dan etnik Islam lain.

China membalas semula desakan itu dengan mengemukakan surat ditandatangani 37 duta dari negara di Asia, Afrika, Timur Tengah dan Amerika Latin yang memuji rekod hak asasi manusia di negara tersebut termasuk dasar deradikalisasi. - NY Times