Ada tak jalan pintas untuk berjaya?

A
A
A

TIADA jalan pintas menuju kejayaan!’ ‘Jalan pintas biasanya akan menemui kebuntuan dan kegagalan. Oleh itu jauhi jalan pintas kerana kejayaan yang diperoleh dengan cara itu tidak akan bertahan lama.’

Begitulah kata-kata yang biasa kita dengar apabila kita mahu kembara menuju kejayaan.

Kerana bimbang akan kejayaan sementara akibat mencari jalan pintas, ramai di antara kita lebih selesa mencari jalan yang lebih lambat.

Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, sehari selembar benang, lama-lama jadi kain dan biar lambat asal selamat menjadi anutan kepada sebahagian daripada kita.

Pada hari ini, pandangan sebegitu sudah tidak begitu relevan lagi kerana banyak sekali aktiviti harian kita menjadi lebih cepat kerana penemuan jalan pintas dan jalan pintas yang lebih cepat itu menjanjikan pula kejayaan yang berkekalan.

Ketika memandu dalam perjalanan ke tempat kerja, jauh di hadapan kita nampak jalan sesak dengan kenderaan. Kemudian kita nampak kelibat sebuah kemalangan. Apa tindakan kita? Kita akan cari jalan pintas.

Daripada jalan utama, kita akan membelok dan menyusur ke jalan kawasan perumahan yang sempit, melalui lopak dan beberapa bonggol jalan, mungkin juga jalan yang penuh semak samun sebelum kita kembali ke jalan besar.

Dari situ kita boleh memecut kerana kawasan kemalangan sudah dipintas. Di kampung, kita biasa nampak garisan rumput yang mati di kawasan tepi padang bola.

Artikel Berkaitan:

Rumput-rumput itu mati kerana kerap dipijak orang yang melaluinya hingga ia terbentuk seperti jalan kecil. Itulah jalan yang orang kampung gunakan dari kawasan perumahan ke kedai runcit di seberang padang bola.

Orang kampung tidak mahu gunakan jalan berbatu di tepi padang kerana ada pagar yang menghadang di tepi kedai runcit. Jadi, itulah jalan pintas yang digunakan oleh orang kampung.

Untuk mengira dalam urusan jual beli, kita akan gunakan mesin kira. Tidak perlu menconteng kertas untuk mencongak. Untuk menjimatkan masa memasak, kita gunakan sekotak cecair santan. Tidak payah membeli kelapa parut lagi.

Malah, apabila ingin ke sesuatu tempat, kita gunakan GPS ataupun Waze yang akan memberi kita dua-tiga laluan. Kita boleh pilih yang mana paling cepat tiba. Tidak perlu meredah jalan lalu berpatah balik kerana terambil jalan jauh.

Mencapai tujuan

Jalan pintas. Inilah perkembangan yang dibina oleh teknologi. Sama ada ia mengenai jarak, masa atau cara, teknologi mempercepatkan kita mencapai tujuan.

Dahulu, apabila kita hendak berhubung, kita menulis surat. Surat yang siap dimasukkan ke sampul. Kemudian kita bubuh setem dan pergi ke pejabat pos untuk mengirimnya.

Pada sebelah petangnya, pihak pos akan menghantar surat itu ke pejabat pos yang berhampiran menggunakan van.

Dari pejabat pos itu, seorang posmen akan mengirim surat itu kepada penerima. Perjalanan surat itu sendiri sudah tentu lebih lama daripada proses menulis itu sendiri.

Pada hari ini, proses menulis surat boleh sahaja dilakukan di bilik atau di pejabat dengan menggunakan komputer. Surat yang siap ditaip akan dikirim melalui e-mel dari tempat duduk.

Dalam masa kurang lima saat surat itu sudah tiba kepada penerima. Barangkali, proses dari peringkat menulis hingga mengirimnya hanya mengambil masa 30 minit. Jika mengikut cara konvensional, ia mengambil masa tiga hari!

Proses menulis dan mengirim surat dahulu memerlukan beberapa langkah dan melibatkan beberapa orang manusia lain seperti posmen, pemandu van dan kakitangan lain.

Kini, proses mengirim surat hanya melibatkan kita sahaja sebagai penulis dan sebagai pengirimnya.

Itulah jalan pintas. Hampir semua proses yang kita lakukan pada hari ini telah disingkatkan masanya. Proses memasak, membasuh, mengira, menulis, membeli-belah, memilih barang dapur, perjalanan malah mengira untung rugi sudah disingkatkan.

Langkah-langkah untuk menyudahkan sesuatu tindakan itu sudah dipendekkan. Oleh itu, kenapa masih berkata lagi, "tiada jalan pintas untuk kejayaan?"

Bagaimanapun, memang ada jalan pintas yang akan menemui kegagalan dan berakhir dengan penyesalan. Misalnya, jika kita menggunakan lorong kecemasan agar cepat sampai ke matlamat, kita mungkin disaman kerana melanggar undang-undang.

Begitu juga jika ingin ijazah tanpa perlu belajar tetapi mengambil ijazah palsu. Ataupun inginkan pangkat dan darjat dengan cara membelinya, mahupun ingin cepat kaya dengan cara mengamalkan rasuah. Jalan-jalan pintas yang beginilah yang harus diketepikan langsung daripada pertimbangan.

Justeru, kita wajib mencari apa jua jalan pintas untuk cepat sampai di tangga kejayaan asalkan ia tidak menyalahi undang-undang mahupun hukum syarak.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian