Beri ruang Dr Mahathir mentadbir negara

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KEMENANGAN Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu telah memberi lembaran baru dalam sejarah negara. Buat pertama kalinya gabungan parti pembangkang mentadbir negara sebagai kerajaan.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik sekali lagi menggalas tugas sebagai Perdana Menteri dilihat berjaya mentadbir negara dengan baik walaupun berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran.

Dr Mahathir sendiri mengakui bahawa beliau dibebani dengan tugasan tiga kali ganda lebih banyak berbanding semasa menjadi Perdana Menteri pertama kali sebelum ini.

Mengikut perjanjian PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik menggantikan Dr Mahathir, namun persoalan yang kerap diutarakan adalah sama ada Dr Mahathir akan terus mentadbir selepas dua tahun?

Adakah wajar untuk Dr Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya lebih awal ataupun beliau wajar tunggu sehingga PH menang pada PRU15?

Isu ini penting untuk dilihat oleh pucuk pimpinan PH kerana kestabilan negara kini bergantung kepada pentadbiran cemerlang Dr Mahathir.

Jika masalah bila mahu ganti Perdana Menteri ini tidak dihentikan, ia sedikit sebanyak memberi imej negatif bahawa PH tidak mempunyai persefahaman yang baik antara parti komponen.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berpendapat Dr Mahathir dan Anwar perlu berbincang empat mata untuk menentukan bila tarikh beliau akan serahkan jawatan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian adalah wajar jika PH membuat pendirian rasmi berhubung perkara itu bagi mengelak polemik ini berterusan.

Pembangkang baru-baru ini telah membuat pendirian untuk memberi sokongan agar Dr Mahathir mentadbir sehingga ke akhir penggal.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menegaskan Pas dan UMNO akan bekerjasama untuk mengekalkan Dr Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat PRU14.

Pendirian yang sama diberikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kepimpinan Dr Mahathir diperlukan bagi memastikan usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

Mohamed Azmin berkata, kepimpinan Dr Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang-peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, semua pihak perlu menghormati keputusan PH yang dibuat sebelum PRU14 bahawa Dr Mahathir hanya mentadbir dalam tempoh dua tahun.

“Polemik peralihan kuasa Dr Mahathir ke Anwar akan merugikan negara. Sepatutnya apabila tempoh peralihan dua tahun sudah dipersetujui, maka ahli politik PH perlu fokus kepada pembangunan rakyat dan memberikan kesejahteraan hidup yang lebih baik berbanding kerajaan BN terdahulu.

“Tindakan mempolitikkan peralihan kuasa yang sudah dipersetujui PH sendiri menunjukkan ada pemimpin politik PH lebih sibuk berpolitik daripada bekerja kuat untuk menangani masalah rakyat dan negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Majlis Presiden PH wajar mengeluarkan pendirian rasmi menggesa agar pemimpin PH tidak membuat kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

Polemik peralihan kuasa ini tidak wajar diteruskan lagi kerana hanya akan merugikan negara dan pemimpin PH terutama barisan Kabinet perlu kembali fokus kepada pembangunan negara.

Rakyat pastinya tidak mahu harga barang naik dan harga petrol tidak terkawal kerana ini amat membebankan terutama bagi penduduk miskin bandar dan masyarakat luar bandar.

Sama ada usaha Dr Mahathir mentadbir lebih lama wajar diambil kira ataupun peralihan kuasa dilaksana secara harmoni mengikut ketetapan Majlis Presiden PH, apa yang penting sekarang adalah semua pihak perlu beri ruang kepada Perdana Menteri untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

Dr Mahathir ketika menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara semalam telah berjanji terus berusaha berlipat ganda untuk mengembalikan Malaysia menjadi antara paksi ekonomi penting di Asia.

Kita sebagai rakyat wajar memberi sokongan kepada Dr Mahathir dan mendoakan kesihatan beliau agar mampu terus berkhidmat untuk negara.

* Riswandi Razak ialah Penolong Editor Sinar Harian Online