X

Kindly register in order to view this article
!

Pas-UMNO berdepan cabaran besar untuk bahagi kerusi

Rusdi
A
A

KOTA BHARU – UMNO dan Pas bakal berdepan cabaran besar khususnya melibatkan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu sebaik sahaja penyatuan ummah melalui Piagam UMNO-Pas ditandatangani.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, kedua-dua parti perlu mempunyai semangat konsensus dalam pembahagian kerusi kerana menyifatkan, ia bukan tugas mudah untuk mana-mana parti termasuk UMNO untuk mengalah dan memberikan kerusi kepada Pas.

“Sama juga dengan Pas, bukan semudah itu kecuali sekiranya mereka (kerusi) kalah teruk dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) lalu.

“Kalau betul-betul ada kerjasama antara UMNO dan Pas, maka mereka kena korbankan kerusi-kerusi tersebut. Kedua-duanya kena korban, bukan UMNO sahaja.

“Sejauh mana mereka sanggup berbuat demikian, itu yang kita semua nak tengok sama ada mereka mempunyai ‘political will’ (kemahuan politik) atau tidak dalam kerjasama itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Secara dasarnya beliau berkata, survival kedua-dua parti bergantung kepada sejauh mana mereka boleh menyelesaikan masalah pembahagian kerusi tersebut kelak.

Buat masa ini katanya, perancangan untuk mencorakkan pembahagian kerusi kedua-dua parti itu belum menampakkan bayangan jelas.

Sehubungan itu katanya, piagam yang akan ditandatangani kedua-dua pihak perlu melibatkan perbincangan berhubung pembahagian kerusi supaya membangkitkan keyakinan penyokong terhadap kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Menurutnya, buat masa ini, penyokong-penyokong kedua-dua parti memahami bahawa mereka bukanlah musuh antara satu sama lain.

“Apabila keluar isu pembahagian kerusi ini, lagilah merumitkan kedua-dua pihak kalau mereka tidak benar-benar bersedia untuk melakukannya.

"Penyokong beri peranan besar dalam kelangsungan sesebuah parti, sama juga dengan pembahagian kerusi yang main peranan kuat untuk menang PRU15 nanti,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!