Kasih seorang ibu

Mohd Azlan di samping keluarga dan ibunya, Saini yang sanggup hadir memberi sokongan kepadanya sewaktu perlawanan akhir kejohanan bola sepak Piala ADUN Kuala Berang di Padang Astaka Kuala Berang malam kelmarin.
Mohd Azlan di samping keluarga dan ibunya, Saini yang sanggup hadir memberi sokongan kepadanya sewaktu perlawanan akhir kejohanan bola sepak Piala ADUN Kuala Berang di Padang Astaka Kuala Berang malam kelmarin.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Meskipun berkerusi roda, seorang ibu tetap setia berada di tepi padang memberikan sokongan buat anaknya yang beraksi pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang 2019 di Padang Astaka Kuala Berang di sini malam kelmarin.

Saini Ahmad, 63, dari Kampung Tanjung Putat tidak mampu berjalan sejak tiga tahun lalu akibat ketumbuhan dalam kepala.

Anaknya, Mohd Azlan Abdullah, 34, yang bermain untuk pasukan Tanjung Putat FC berkata, dia terharu dengan kehadiran ibunya sekali gus membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk bermain.

"Saya minat bola sepak sejak dulu lagi dan emaklah antara penyokong kuat yang setia berikan saya suntikan semangat. Begitu juga dengan adik-beradik serta ahli keluarga lain, sokongan mereka tidak berbelah bahagi.

"Namun kesihatan emak semakin merosot sejak tiga tahun lepas akibat ketumbuhan dalam kepala. Emak pernah jalani pembedahan dan sekarang dia tidak berupaya berjalan mahu pun uruskan diri sendiri.

"Saya benar-benar terharu kerana dalam keadaan kesihatan begitu, emak sanggup gagahkan diri duduk atas kerusi roda sepanjang perlawanan berlangsung hanya semata-mata ingin berikan sokongan kepada saya dan juga pasukan," katanya.

Mohd Azlan yang bermain di posisi penyerang berkata, isterinya, Nor Salmiah Tuaran Turki, 33, dan lima anak mereka berusia antara 11 hingga 2 tahun juga hadir memberikan sokongan.

"Saya anak kelima daripada lapan beradik, cuma seorang sahaja iaitu yang berada di Pulau Pinang tidak dapat pulang. Adik-beradik lain semuanya datang berikan sokongan bersama emak.

Artikel Berkaitan:

"Selepas menang peringkat separuh akhir Isnin lalu saya ada bercerita dengan emak mengenai perlawanan akhir ini dan dia hanya angguk tanda faham. Saya benar-benar terharu emak sanggup datang lihat saya beraksi di padang," kata peniaga sate itu.

Pada perlawanan akhir itu, Tajin FC muncul juara selepas menewaskan Tanjung Putat FC 3-2, sekali gus membawa pulang hadiah RM1,500 berserta piala iringan, piala pusingan dan medal.

Kegembiraan berganda buat Tajin FC apabila pemainnya, Muhamad Umar Hanafi dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan itu yang menyaksikan 22 pasukan berentap memburu gelaran juara.

Penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri merangkap ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.

Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid; Penyelaras i-MiTS DUN Kuala Berang, Mohamed Abdullah dan Penyelaras Pemuda DUN Kuala Berang, Aminuddin Mohamad.