Semua pemimpin, ahli PKR disaran contohi Tun M: Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Makan Malam Anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI) untuk menyambut para Perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM di Setia City Convention Centre, hari ini. Foto: Bernama
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Makan Malam Anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI) untuk menyambut para Perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM di Setia City Convention Centre, hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk kepimpinannya disaran mencontohi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih mengutamakan isu parti walaupun sudah dua kali menerajui pentadbiran negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, saranan itu juga dijadikan peringatan kepada dirinya sendiri selaku Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

"Kalau kita lihat (Dr Mahathir) sebagai rujukan, beliau sendiri berpengalaman 22 tahun sebagai perdana menteri dan kini sekali lagi memegang jawatan itu tetapi masih memberi ruang kepada isu-isu parti.

"Sebagai sebuah parti politik, kita (ahli politik) naik (dipilih oleh ahli) atas dasar parti. Jadi adalah lebih baik untuk kita memperkukuhkannya (mengutamakan parti)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI), di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan media menyatakan beberapa pemimpin PKR tidak hadir di mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti itu, Ahad lepas.

Laporan media itu menyebut antara pemimpin PKR terbabit adalah timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor yang juga Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Naib Presiden PKR Zuraida Kamarudin dan Ketua Wanita PKR Haniza Mohd Talha.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, walaupun PKR dikatakan berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah disiplin ahlinya, namun ia disifatkan sebagai lumrah dalam mana-mana parti politik.

"Sebelum ini pun kita (PKR) menghadapi pelbagai cabaran dalam parti termasuk ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dipenjarakan. Tempoh ini tiada siapa percaya yang PKR akan dapat menghadapinya.

Artikel Berkaitan:

"Malah ada pihak mengatakan kita (PKR) sebagai sebuah 'parti nyamuk' tapi sejak daripada itu, parti kita semakin matang. Setiap cabaran yang dihadapi menjadikan PKR semakin kukuh," katanya.- Bernama