Pemuda UMNO Kelantan sambut baik titah Agong

NOOR HARIRI
NOOR HARIRI
A
A
A

KOTA BHARU – Pemuda UMNO negeri menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong supaya masyarakat tidak mencetuskan api perselisihan antara kaum dan agama di negara ini.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pihaknya akan turut berperanan sebagai barisan hadapan bagi menentang agenda jahat mana-mana pakatan yang berideologi liberal sosialis.

“Mereka ini adalah orang yang sentiasa berusaha untuk meruntuhkan kedaulatan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan keistimewaan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kami menjunjung titah Tuanku dan berharap semua pihak membuka mata dengan titah tersebut bagi memastikan Malaysia terus kekal aman damai tanpa sebarang persengketaan antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pihak agar jangan sesekali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuhkan keharmonian negara.

Baginda menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian rakyat adalah tiang seri dan kekuatan negara.

Mengulas lanjut, Hariri berkata, agenda perpaduan ummah antara UMNO dan Pas adalah mengikut titah Tuanku kerana ianya suatu agenda penyatuan nasional umat Melayu sebagai kaum terbesar di negara ini, sekali gus tanpa meminggirkan kaum lain.

Beliau berkata, rakyat Malaysia boleh melihat hanya pihak pembangkang yang mempunyai semangat patriotisme tinggi dalam menjaga keamanan negara.

Artikel Berkaitan:

“Isu agama kami perjuangkan, isu penghinaan raja-raja kami pertahankan, isu perkauman kami redakan. Kerjasama dan persefahaman antara UMNO dan Pas ini ibarat kata pepatah 'carik-carik bulu ayam, lama-lama akan bercantum jua'.

“Ia membawa maksud perselisihan faham antara dua parti adik-beradik ini tidak berpanjangan dan akan kembali menemui titik persamaan demi memartabatkan agenda Islam dan Melayu untuk kemakmuran negara Malaysia tercinta,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan cetus api perselisihan, titah Agong