Rakyat rafak sembah tahniah pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Keris Kerajaan, simbol kebesaran dan kekuasaan Raja Berperlembagaan pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara hari ini.
 Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang merafak sembah ucapan tahniah kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena istiadat pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara hari ini.

Selain ucapan tahniah, mereka turut mengutuskan doa buat Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena istiadat bersejarah itu yang dilaksanakan mengikut tradisi dan warisan Kesultanan Melayu.

Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Al-Sultan Abdullah diyakini mampu memikul tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan cemerlang dan seterusnya membawa kejayaan lebih gemilang kepada Malaysia.

Pemandu rasmi Al-Sultan Abdullah, Azman Saadon, yang mewakili kakitangan am Istana Abdulaziz pula mendoakan agar Seri Paduka diberi kesihatan baik untuk memerintah negara.

“Kami di Istana Abdulaziz amat mengenali keperibadian Seri Paduka berdua yang begitu prihatin dan baik hati. Kami bangga kerana rakyat Malaysia kini boleh mengenali Seri Paduka berdua dengan lebih rapat lagi,” katanya.

Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, rakyat negeri itu menzahirkan iltizam untuk mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan selaras dengan kedudukan Seri Paduka sebagai Ketua Negara yang menjadi lambang kedaulatan, ketaatan, perpaduan, kebesaran dan kemuliaan negara.

"Semoga ALLAH memimpin Seri Paduka dengan taufik dan hidayahNya dalam melaksanakan tugas dan peranan sebagai ketua negara serta sentiasa diberkati dan dilimpahi rahmat kurniaan Allah SWT," katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, pekerja sambilan Muhammad Azri Syazwan Abd Hamid, 23, berkata, Al-Sultan Abdullah adalah raja yang berjiwa rakyat dan sentiasa prihatin dengan kesulitan dan permasalahan yang dihadapi rakyat terutama mereka yang dilanda musibah dan bencana.

Penuntut sebuah universiti awam, Sin Run Hui, 23, berkata, keperibadian Yang di-Pertuan Agong yang mengambil berat tentang kehidupan rakyat menyentuh perasaannya sebagai anak Malaysia.

"Saya sangat mengagumi keperibadian Yang di-Pertuan Agong yang sentiasa prihatin terhadap rakyat. Seri Paduka juga kerap menggunakan media sosial untuk berkongsi kehidupan dan berinteraksi dengan rakyat, ini dapat mengeratkan hubungan Seri Paduka dengan rakyat,” katanya.

Di KEDAH, pesara kerajaan Ibrahim Ahmad, 65, berkata kepimpinan dan keperibadian Al-Sultan Abdullah sangat disenangi rakyat.

"Keperibadian Seri Paduka memang disenangi kerana baginda seorang yang sangat mesra, suka bertanya khabar dan tidak kekok untuk duduk dan bergurau dengan rakyat biasa,” katanya.

Di MELAKA, Ketua Menteri Adly Zahari dan seluruh rakyat Melaka merafak sembah ucapan tahniah selain berdoa agar ALLAH memberkati pemerintahan Al-Sultan Abdullah.

Pesara kerajaan, Azmi Hassan, 64, pula berkata, beliau kagum dengan keramahan Yang di-Pertuan Agong terhadap rakyat.

"Saya mendoakan agar Seri Paduka terus diberi nikmat kesihatan, keimanan untuk terus memerintah negara ini... Seri Paduka memang disayangi oleh rakyat," katanya.

Robert Teo, 44, pula berharap Seri Paduka terus diberikan kesihatan baik untuk memerintah negara dan menjaga kebajikan rakyat.

Di SARAWAK, penjawat awam, Norazura Salleh, 34, yang merupakan anak jati Pahang berkata, beliau berbangga kerana Al-Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Tuanku seorang yang sangat istimewa terutamanya di hati kami rakyat Pahang. Semoga rakyat terus mengecapi keamanan, kedamaian dan keharmonian bersama di bawah naungan Tuanku,” katanya.

Pekerja swasta, Aloren Lewis Lias, 33, berkata beliau sangat teruja menyaksikan istiadat pertabalan yang penuh dengan tradisi Raja-raja Melayu, yang disiarkan secara langsung di seluruh Malaysia.

“Tahniah diucapkan kepada Al-Sultan Abdullah di atas pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Tuanku merupakan simbol perpaduan, lambang kestabilan dan kemegahan negara,” katanya.

Di TERENGGANU, golongan muda turut teruja menyaksikan istiadat pertabalan itu walaupun hanya menerusi televisyen.

“Walaupun kita menghampiri tahun 2020 namun adat istiadat Raja Melayu amat dirasai semasa menonton istiadat pertabalan ini... lebih-lebih lagi semasa nobat dimainkan,” kata kakitangan swasta Nik Anis Ayuni Zakaria, 23, dari Kuala Terengganu

Penuntut universiti, Wan Zurafifah Wan Zulkifli, 21, berkata beliau gembira menyaksikan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berpimpin tangan ketika berangkat memasuki Istana Negara.

“Seri Paduka berdua merupakan pasangan diraja yang sangat mesra... ini kali pertama saya lihat pasangan diraja berpegangan tangan dalam istiadat sebegini,” katanya.

Di SELANGOR, Menteri Besar Amirudin Shari yakin Al-Sultan Abdullah yang berjiwa rakyat dapat membentuk pemerintahan yang adil dan saksama.

“Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Abdullah sempena pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-16, Patik mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Selangor mendoakan semoga ALLAH merahmati dan memberkati pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.

Pekerja swasta, Harun Omar, 42, pula mengagumi keperibadian Seri Paduka yang kerap menyantuni rakyat semasa berlaku bencana.

“Rakyat Malaysia beruntung kerana mempunyai Yang di-Pertuan Agong yang mesra dan tidak kekok bersama-sama rakyat... dengan ini, hubungan antara raja dan rakyat akan dapat dipererat dan diperkukuhkan lagi,” katanya.

Di PERAK, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari berkata, pertabalan Yang di-Pertuan Agong penting kerana ia merupakan tradisi negara.

"(Pertabalan) bermula di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang kemudian di Istana Negara lama hinggalah kini Istana Negara baharu di Jalan Tuanku Abdul Halim. Semua ini akan menjadi khazanah sejarah dan membentuk tradisi," kata Abdul Aziz yang juga Pakar Perlembagaan kepada Bernama.

Beliau berkata, pertabalan Al-Sultan Abdullah juga merupakan lambang kesinambungan selain mengimbau pemerintahan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada 1979.

"Semua ini unik, tidak ada sistem monarki lain yang sepertinya. Ini meletakkan Malaysia di peta dunia serta boleh menjadi tarikan pelancong dan penyelidik," kata beliau yang juga Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri.

ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, keperibadian dan keterampilan Al-Sultan Abdullah yang mudah didekati serta mesra sememangnya sangat dikagumi rakyat.

"Semoga di bawah payung naungan Yang di-Pertuan Agong, negara lebih dihormati dan Raja-Raja Melayu lebih dikasihi oleh rakyat jelata," katanya yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri.

Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Tunku Azizah sebagai Raja Permaisuri Agong.

"Patik mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Johor mendoakan Tuanku berdua sentiasa berada dalam peliharaan ALLAH dan bersemayam di atas takhta kebesaran dengan segala kedaulatan, kerahmatan serta kebesaran.

"Semoga Tuanku dapat menaungi rakyat jelata berbilang kaum dengan penuh keadilan dan saksama. Daulat Tuanku," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri turut yakin Al-Sultan Abdullah mampu menjadi pemerintah yang menghayati keinginan rakyat untuk menikmati kehidupan yang selesa dan bahagia.

"Seri Paduka telah menzahirkan dengan tepat hasrat selaku peneraju kemakmuran dan perpaduan seiring dengan tekad Perdana Menteri selaku ketua pentadbiran yang mahu mengemudi kerajaan Pakatan Harapan ke era Kemakmuran Bersama 2030," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali pula berkata beliau menyambut baik penegasan Al-Sultan Abdullah untuk berusaha mewujudkan perpaduan dan sikap toleransi antara semua kaum dan agama di negara ini.

Sheikh Umar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, beliau serta pemimpin kerajaan juga akan mengambil nasihat Al-Sultan Abdullah agar semua pihak menjauhi perkara yang boleh mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara.

Menurutnya institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol atau adat sebaliknya ia amat penting dalam sistem kenegaraan Malaysia, yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia