Budak lelaki maut jatuh sungai

Gambar hiasan
A
A

LANGKAWI- Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan ditemukan lemas, selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jeti Nelayan Kampung Sungai Menghulu, di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang bermain bersama empat lagi adik-beradiknya di lokasi berkenaan, yang terletak berhampiran rumah bapa saudaranya.

"Menurut bapa saudara kanak-kanak malang itu kira-kira 1.10 petang dia dimaklumkan oleh anaknya bahawa mangsa telah terjatuh ke dalam air, sebelum bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kanak-kanak itu berada di dalam air dalam keadaan tenggelam timbul.

"Dia kemudiannya mengangkat mangsa dan membawanya ke Hospital Sultanah Maliha untuk mendapatkan bantuan, sebelum disahkan telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi petang ini.

Mohd Iqbal berkata pemeriksaan di lokasi kejadian juga tidak mendapati sebarang unsur jenayah dan kes masih dalam siasatan.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Khamis ini," katanya.