BPPA cipta rekod 20 tahun beroperasi tanpa kemalangan

Dari kiri; Mohd Zahari, Mahajar, Mohd Roslan dan Omar menunjukkan buku yang dilancarkan BPPA.
Dari kiri; Mohd Zahari, Mahajar, Mohd Roslan dan Omar menunjukkan buku yang dilancarkan BPPA.
A
A
A

KEMAMAN - Syarikat pengeluar asid asetik, BP Petronas Acetyls Sdn Bhd (BPPA) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya beroperasi selama 20 tahun tanpa kemalangan atau 'lost time injury' (LTI).

Pengiktirafan itu sekali gus menjadikan BPPA sebagai kilang pertama di Kompleks Petrokimia Bersepadu Kerteh mencatatkan pencapaian cemerlang berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif BBPA, Mohd Roslan Ismail berkata, kejayaan BPPA itu digapai hasil fokus yang diberikan kepada tiga aspek utama iaitu pekerja, keselamatan dan pencapaian.

"Keselamatan merupakan teras kepada tanggungjawab kita. Kita menjayakan keselamatan melalui alat dan sistem pengurusan tetapi jangan sekali-kali lupa, pekerjalah yang menjadikan sistem itu berjaya.

"Ingatlah selalu, betapa cantik pun sistem dan alat-alat kita, pekerja adalah 'enabler' (tunjang). Ini mesti kita semat dan suburkan di dalam minda setiap daripada kita," katanya pada majlis meraikan pencapaian BPPA beroperasi selama 20 tahun tanpa kemalangan di Dewan Mesra, Mesra Mall Kemasik di sini.< /p>

Mohd Roslan bersama kakitangan, kontraktor, agensi kerajaan dan rakan niaga yang diraikan.
Mohd Roslan bersama kakitangan, kontraktor, agensi kerajaan dan rakan niaga yang diraikan.

Majlis itu diadakan untuk meraikan dan mengiktiraf kakitangan, rakan BP dan Petronas, agensi kerajaan, kontraktor dan semua rakan niaga yang berusaha menjadikan pencapaian itu benar-benar luar biasa bagi BBPA.

Majlis dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir Omar Mat Piah dan turut dihadiri Pengarah JKKP Terengganu, Mohd Zahari Hitam.

Artikel Berkaitan:

Kemuncak majlis menyaksikan Mohd Roslan menerima sijil 'Longest Zero Lost Time Injury in 20 Years' daripada wakil MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin sambil disaksikan Omar dan Mohd Zahari.

Serentak dengan majlis itu, BBPA turut melancarkan buku bertajuk 'BPPA: A Journey to Success' sebagai tanda penghargaan kepada Mohd Roslan atas kejayaan BPPA memenangi anugerah terbaik 2017 daripada Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) kategori Ketua Pegawai Eksekutif.

Buku itu merupakan cetusan idea bekas Pengarah JKKP Terengganu, Ir Dr Majahar Abdul Rahman yang kini merupakan Pengarah Bahagian Dasar Antarabangsa dan Penyelidikan JKKP.

Buku tersebut diterbitkan dengan kerjasama JKKP Terengganu dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tujuan perkongsian pengalaman antara industri untuk kejayaan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Mohd Roslan dan Omar memotong pulut kuning sebagai tanda kesyukuran pada majlis meraikan pencapaian BPPA beroperasi selama 20 tahun tanpa kemalangan di Mesra Mall Kemasik di Kemaman kelmarin.
Mohd Roslan dan Omar memotong pulut kuning sebagai tanda kesyukuran pada majlis meraikan pencapaian BPPA beroperasi selama 20 tahun tanpa kemalangan di Mesra Mall Kemasik di Kemaman kelmarin.

BPPA melakar pencapaian sifar kemalangan dalam tempoh 20 tahun beroperasi itu pada 5 Julai lalu.

Sementara itu, Omar berkata, pencapaian sifar kemalangan itu dicapai BPPA bermula tarikh 5 Julai 1999 hingga 4 Julai lalu bersamaan dua dekad.

"Pengiktirafan dan penghargaan ini melibatkan seramai 90 kakitangan BPPA dan 50 kontraktor merangkumi jumlah keseluruhan seramai 140 orang pekerja.

"Komitmen, kerjasama dan sistem kerja bersistematik yang diamalkan dalam setiap aktiviti kerja menjadi teras kebanggaan syarikat beroperasi selama 20 tahun tanpa berlaku sebarang kemalangan terutamanya tempat kerja mempunyai proses dan loji berkapasiti tinggi.

"Diharap kejayaan dicapai BPPA ini dicontohi syarikat lain dan rahsia pencapaian syarikat ini boleh diperoleh menerusi buku yang dilancarkan ini," katanya.

Mohd Roslan menerima sijil MBOR daripada Edwin (tiga dari kiri) sambil disaksikan Omar (tiga dari kanan) dan Mohd Zahari (kanan).
Mohd Roslan menerima sijil MBOR daripada Edwin (tiga dari kiri) sambil disaksikan Omar (tiga dari kanan) dan Mohd Zahari (kanan).

Untuk rekod, BPPA secara berterusan memenangi pelbagai anugerah keselamatan dan kesihatan pekerjaan daripada Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM) dan NCOSH sejak 20 tahun lalu.

BPPA juga dianugerahkan Anugerah ASEAN OSHNET pada 2016 atas kecemerlangan prestasi untuk keselamatan dan kesihatan pekerjaan.