Polis tahan rakan suspek samun pengurus stesen minyak

No Image Caption
A
A
A

TAMPIN - Polis menahan dua lelaki dipercayai rakan suspek berusia 45 yang ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun melibatkan wang bernilai RM43,000 di sebuah bank di Gemas.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, kedua-dua suspek ditahan secara berasingan antara jam 12.15 malam hingga 2.30 pagi tadi di Gemas Baru, Johor dan Melaka.

"Tangkapan pertama di rumah sekitar Gemas Baru, Johor manakala tangkapan kedua di sebuah hotel di Melaka. Masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah kekerasan.

"Turut dirampas bersama suspek topi keledar, sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC bersangkut dengan kes curi motosikal yang dilaporkan di Tangkak Johor. Nombor pendaftaran pada motosikal itu juga didapati palsu.

"Ujian air kencing akan dibuat selepas reman dan siasatan lanjut akan diteruskan di bawah Seksyen 395/393 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dua lelaki bermotosikal berputih mata apabila wang tunai berjumlah RM43,000 yang disamun daripada seorang pengurus stesen minyak di Gemas gagal dibawa lari.

Kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu berjaya dihalang oleh orang ramai, menyebabkan salah seorang daripada mereka diberkas.

Terdahulu, pengurus stesen minyak itu yang berusia 66 tahun mahu mendepositkan wang RM43,000 hasil jualan stesen minyak di bank berkenaan sebelum disamun suspek.

Artikel Berkaitan: