'Ambil tindakan tegas pihak hina nabi'

Abdul Hadi (lima dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat oleh Pemuda Pas Kawasan Jerlun dan Kubang Pasu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu baru-baru ini.
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah di seluruh 15 Parlimen di negeri ini tampil membuat laporan polis sebagai tanda mengecam dan mengutuk tindakan seorang pemilik Facebook, Wendy Loong yang menghina ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Ketua penerangannya, Abdul Hadi Omar berkata, tindakan Wendy Loong itu merupakan satu lagi siri penghinaan terhadap agama Islam yang digubal sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Katanya, susulan daripada laporan berkenaan, pihaknya menyeru pihak polis menyiasat status yang dimuat naik di laman Facebook milik pengguna terbabit.

"Sekiranya status berkenaan tulen, individu yang melakukan kebiadaban ini mesti dikenakan hukuman tegas agar menjadi pengajaran kepada semua supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mengundang sensitiviti umat Islam," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, isu penghinaan seumpama itu terlalu serius kerana kesannya akan merosakkan perpaduan pelbagai kaum yang sepatutnya hidup secara harmoni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Kami menggesa pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan segera dan tegas bagi mengelakkan berlakunya pergaduhan antara kaum dan agama.

"Selain itu, semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik diseru bangun dan bangkit bersatu atas nama perpaduan ummah untuk mempertahankan kesucian Islam dalam negara kita yang tercinta ini," katanya.

Beliau berkata, beberapa Pemuda Pas kawasan telah membuat laporan polis sejak 22 Julai lalu antaranya Pemuda Pas Kawasan Padang Terap, Sungai Petani, Sik, Kulim Bandar Baharu, Jerai, Pokok Sena, Jerlun dan Kubang Pasu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia