Tengku Puteri Jihan anggun mengenakan busana Permaisuri Agong

Anakanda-anakanda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara hari ini. Kelihatan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah (dua, kiri). - Foto Bernama
Anakanda-anakanda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara hari ini. Kelihatan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah (dua, kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Busana warna putih gading yang disarung Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara hari ini mencuri tumpuan tetamu, mengingatkan kembali nostalgia semasa pertabalan nendanya 35 tahun dahulu.

Penampilan puteri bongsu kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang anggun bergaya mengenakan persalinan itu, turut menjadi tumpuan lensa kamera yang merakam detik hari bersejarah itu.

Persalinan yang diperbuat daripada satin Dutch bersulaman renda Perancis itu merupakan persalinan bondanya, Tunku Azizah ketika menyaksikan pertabalan ayahanda baginda Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada November 1984.

Ketika ditemui Bernama selepas selesai istiadat pertabalan hari ini, Tengku Puteri Jihan, 17, berkata beliau berasa bangga dan selesa mengenakan baju kurung milik bonda beliau yang mempunyai nostalgia tersendiri.

"Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang," katanya.

Pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai ‘tukang jahit’ busana Tunku Azizah dan anakanda-anakanda baginda, diberi tanggungjawab mengubah suai saiz baju kurung Tunku Azizah itu untuk disesuaikan dengan saiz pinggang Tengku Puteri Jihan.

Istiadat yang berlangsung dengan gilang-gemilang penuh tradisi Raja-raja Melayu itu secara rasmi menandakan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun. -Bernama

Artikel Berkaitan: