BSH dapat 28 Jan, ikut pangkalan data lama

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) fasa pertama akan dilaksanakan pada 28 Januari 2019 mengikut pangkalan data lama dan kaedah lama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak, bagi membolehkan bayaran dibuat cepat sebelum Februari 2019.

“Proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima yang tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan B40 memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baru seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH 2019 fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan Program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah. Kriteria pembayaran dan kaedah baru akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat,” katanya.

Katanya lagi, atas keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pembayaran BSH 2019 dijangka akan memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah.

“Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion. Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan: