Hasil padi merosot teruk dalam tempoh 40 tahun

Ahmad Mustain (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar ke 38 di Dataran PPK Sungai Besar, Jalan Parit 1, di sini hari ini.
Ahmad Mustain (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar ke 38 di Dataran PPK Sungai Besar, Jalan Parit 1, di sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Pengeluaran hasil padi di daerah Sabak Bernam yang merosot teruk dianggap umpama lakonan dalam salah satu babak filem 'Nujum Pak Belalang' suatu ketika dahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman berkata, hasil padi dianggap paling rendah dalam sejarah daerah itu sejak 40 tahun lalu.

"Nujum ADUN Sabak ada satu teka-teki apakah maksud tiga banyak, lima sedikit, tujuh jarang-jarang dan sembilan kadang-kadang?

"Jawapannya iaitu hasil pengeluaran padi yang merosot teruk pada musim tanaman kali ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar ke 38 di Dataran PPK Sungai Besar, Jalan Parit 1, di sini hari ini.

Menurutnya pada musim ini ramai pesawah yang hanya memperoleh bawah tiga tan hasil pengeluaran, manakala tujuh hingga sembilan tan pengeluaran pula jarang-jarang dan kadang-kadang berlaku.

Ahmad Mustain berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada pesawah diaplikasi WhatsApp, media sosial Facebook dan panggilan telefon mengenai pengeluaran hasil padi yang merosot.

Katanya, rintihan pesawah itu sudah dipanjangkan kepada Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Ir Izham Hashim serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

"Saya dimaklumkan pihak kementerian hantar wakil iaitu Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Mazlan Aliman ke Balai Raya Parit 10 Timur, 3 Ogos ini untuk meninjau dan mencari penyelesaian kenapa hasil padi rendah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, bagi menangani perkara itu, kerajaan negeri mengesyorkan pesawah melakukan perubahan dalam penanaman padi.

"Exco pertanian minta saya pujuk pesawah bersetuju tidak menanam secara individu, sebaliknya tanam padi secara berkumpulan yang diuruskan pihak dilantik seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) manakala pesawah hanya memperoleh hasil sahaja.

"Dalam dunia ini tiada yang mustahil, malah saya yakin pesawah mampu meraih hasil sehingga 15 tan semusim," katanya.

Justeru tegas beliau, kerajaan diminta menghargai pesawah yang membanting tulang dan mengerah keringat di bendang bagi menjamin bekalan beras negara.

"Kalau pesawah mogok bukan sahaja yang bergaji RM800,000 sebulan susah, tetapi perdana menteri juga risau negara kekurangan bekalan makanan.

"Sekiranya ada pesawah tertindas, ajak saya sekali membantah kerana suara saya sahaja tak didengari, sebaliknya kalau suara saya dan pesawah bergandingan mereka (kerajaan) tahu bahawa suara ini penting bagi menjamin bekalan beras berterusan," katanya.