Tiga maut angkara haiwan merayau

Haiwan yang merayau akan disita oleh MDPT bermula bulan depan dalam usaha untuk memastikan tidak lagi berlakunya kemalangan melibatkan haiwan yang melintas jalan raya sehingga mendatangkan maut kepada pengguna jalan raya. (Gambar kecil: Zulhusni Mohamad Rashid)
Haiwan yang merayau akan disita oleh MDPT bermula bulan depan dalam usaha untuk memastikan tidak lagi berlakunya kemalangan melibatkan haiwan yang melintas jalan raya sehingga mendatangkan maut kepada pengguna jalan raya. (Gambar kecil: Zulhusni Mohamad Rashid)
A
A
A

KUALA NERANG – Tindakan tegas akan diambil Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) dalam menyita dan melupuskan haiwan yang merayau di sekitar daerah ini bermula Ogos.

Setiausahanya, Zulhusni Mohamad Rashid, berkata langkah tersebut terpaksa dilakukan selepas menyaksikan jumlah kes kemalangan membabitkan haiwan semakin meningkat.

Menurutnya, sehingga Julai tahun ini, tiga kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal melanggar haiwan yang merayau di tengah jalan.

“Kami memperolehi statitik ini daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap yang mencatatkan sehingga 15 kemalangan dengan membabitkan tiga kemalangan maut sehingga Julai 2019 manakala pada 2018 pula membabitkan 14 kemalangan dengan satu kemalangan maut melibatkan haiwan yang merayau.

“Statistik ini menunjukkan satu angka yang membimbangkan malah ada pemilik haiwan tersebut tidak mengaku apabila berlakunya kemalangan,” katanya baru-baru ini.

Jelas Zulhusni, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau MDPT 2007 bagi memastikan haiwan tidak lagi merayau dan membahayakan pengguna jalan raya.

“Kemalangan ini melibatkan haiwan seperti lembu dan kerbau yang dibiarkan merayau malah tidak dibawa pulang ke kandang pada sebelah petang.

“Hal ini memberikan masalah kepada pengguna jalan raya terutamanya pada sebelah malam kerana lampu jalan yang agak terhad,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, perjumpaan sudah pun diadakan dengan pemilik-pemilik haiwan tersebut termasuk bertemu imam-imam masjid untuk menjelaskan kesalahan membiarkan haiwan ternakan merayau namun keadaan sama terus berulang.

“Haiwan-haiwan yang disita boleh dilupuskan atau disembelih jika tidak dituntut dalam tempoh tujuh hari. Tiada pampasan atau ganti rugi yang boleh dituntut oleh pemilik terhadap haiwan yang telah disembelih,” katanya.