Pemandu terselamat treler terbalik

Treler membawa muatan isirung sawit terbalik di KM56 Jalan Kuala Berang - Aring, Hulu Terengganu petang semalam.
Treler membawa muatan isirung sawit terbalik di KM56 Jalan Kuala Berang - Aring, Hulu Terengganu petang semalam.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang pemandu treler berdepan detik cemas apabila kenderaan membawa muatan isirung sawit itu terbalik di KM56 Jalan Kuala Berang - Aring di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa, Muhamad Zamrol Md Isa, 41, beralamat di Kampung Gerai, Jerteh, Besut bernasib baik kerana cuma mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan melibatkan treler jenis Volvo 460 dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Semambu, Pahang.

"Siasatan awal mendapati treler dipandu mangsa hilang kawalan sewaktu menuruni bukit yang curam serta berselekoh ke arah kanan hingga menyebabkan kenderaan terbalik di lorong kanan jalan.

"Treler juga menggelongsor sejauh lebih kurang 20 meter di atas permukaan jalan raya tersebut. Pemandu treler terselamat dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu bagi dapatkan rawatan berikutan mengalami kecederaan ringan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kemalangan turut mengakibatkan tumpahan minyak dan isirung sawit bertaburan di atas jalan raya.

"Kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak dan isirung sawit yang memenuhi permukaan jalan dibersihkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang," katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian cuaca baik dan cerah, permukaan jalan kering, jalan selekoh tajam menurun bukit, jalan dua lorong dua hala dengan garisan putih berkembar pemisah jalan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, treler tersebut rosak keseluruhan di bahagian sisi sebelah kiri termasuk cermin besar hadapan pecah, pintu hadapan sebelah kiri dan bumbung kemik, cermin pintu sebelah kiri serta lampu besar hadapan sebelah kiri pecah.