Pas sokong usaha kerajaan gubal Akta Kredit Pengguna

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM - Pas bersetuju dengan usaha kerajaan bagi menggubal Akta Kredit Pengguna bagi mengawal selia kepentingan pengguna khususnya penjawat awam.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rangka kerja pengawasan kredit perlu diurus secara sistematik dan lebih berkesan dengan mengambil kira semua faktor kritikal terutama yang melibatkan literasi kewangan, pengunderaitan Institusi Kewangan Bukan Bank (IKBB), penilaian nisbah khidmat hutang (DSR) dan perlindungan data peribadi.

"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti khususnya Jaringan Pendidikan Kewangan kerana telah melancarkan program yang sangat bermanfaat iaitu Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, minggu lalu.

"Program yang sangat dinantikan bagi mendidik rakyat Malaysia tentang hal ehwal kewangan peribadi supaya tidak terjerat dengan permasalahan kewangan seperti hutang tidak terkawal dan ancaman riba," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, kerajaan akan menyegerakan penggubalan Akta Pengguna Kredit bagi melindungi kepentingan pengguna dan menggalakkan pasaran kredit yang sihat.

Katanya, akta berkenaan penting untuk memastikan pengguna kredit menerima layanan yang adil semasa berurusan dengan pemberi kredit.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, beliau tertarik dengan maklumat mengenai hutang isi rumah yang telah disentuh oleh Dr Mahathir iaitu hutang isi rumah rakyat telah mencecah 82.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Risiko hutang isi rumah perlu dikawal supaya tidak menjejaskan kestabilan kewangan negara. Perkara yang ingin difokuskan ialah tahap hutang isi rumah dalam kalangan para penjawat awam yang mencakupi satu perlima daripada hutang isi rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, berdasarkan data terakhir yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Februari 2018 menunjukkan jumlah terkumpul hutang isi rumah penjawat awam adalah sebanyak RM236 bilion.

"Ia bersamaan dengan 20 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah dan 17 peratus daripada KDNK.

"Berdasarkan pemprofilan peminjam, 97 peratus daripada 1.26 juta penjawat awam telah berhutang dan 62 peratus daripadanya meminjam daripada Institusi Kewangan Bukan Bank (IKBB)," katanya.

Jelasnya, sebanyak 64 peratus peminjam dalam kalangan penjawat awam tersebut berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

"Sebahagian besar hutang berisiko (42 peratus) terdiri daripada penjawat awam yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000, manakala 38 peratus daripada penjawat awam yang berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000. Isu yang membimbangkan ialah perolehan pinjaman (kredit) yang sangat tinggi daripada IKBB, daya tahan kewangan lemah dan risiko kewangan yang besar.

"Pada Mac 2017, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan kenaikan hutang isi rumah banyak disumbangkan oleh sektor pinjaman atau pembiayaan peribadi yang diberikan oleh IKBB dan koperasi (shadow banking system). Sasaran utama mereka adalah golongan penjawat awam dan lebih 80 peratus hutang yang diberikan oleh IKBB adalah kepada penjawat awam yang berpendapatan kurang RM 3,000 sebulan," katanya.