Polis Kelantan ketat kawalan sempadan tangani kemasukan dadah

Mit (berdiri, dua dari kanan) melakukan tinjauan di ICQS Rantau Panjang hari ini.
Mit (berdiri, dua dari kanan) melakukan tinjauan di ICQS Rantau Panjang hari ini.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Polis Kelantan terus memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha membanteras kemasukan dadah ke negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Mit Emong berkata, usaha itu dilakukan menerusi jalinan kerjasama dengan semua agensi penguat kuasa yang bertugas di sepanjang sempadan.

“Bermula 28 Julai lalu hingga 3 Ogos depan, kawalan sempadan terus diperketatkan.

“Apabila kita melakukan serbuan di kawasan yang telah dikenal pasti menjadi lubuk dadah, tiada lagi kemasukan baharu bahan terlarang itu,” katanya.

Terdahulu, beliau ditemui ketika melakukan tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini hari ini.

Mit berkata, polis Kelantan mengambil serius aktiviti pengedaran dadah di negeri ini, termasuk mengadakan pelbagai operasi dalam usaha mengekang masalah tersebut.

Beliau turut berterima kasih kepada masyarakat di sempadan yang banyak memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkait pengedaran dadah.

Katanya, maklumat tersebut banyak membantu polis dalam usaha membanteras kemasukan bahan terlarang itu ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita harap jalinan kerjasama ini akan terus berkekalan. Hal ini bagi memastikan operasi membanteras kemasukan dan pengedaran dadah dapat dipatahkan,” katanya.