Kerajaan perlu buktikan ketelusan undang-undang: Hassan

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan diminta membuktikan dengan telus bahawa pentadbiran negara kini amat menitikberatkan kedaulatan undang-undang (Rules Of Law) serta tidak mudah dipengaruhi pihak-pihak tertentu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara berkenaan dilihat mustahak dalam sebarang penilaian perundangan kes-kes berprofil tinggi terutama membabitkan pemimpin negara.

Sebagai contoh katanya, proses perundangan yang lemah masih dilihat berlaku menerusi siasatan berhubung kes adegan video intim sejenis didakwa melibatkan seorang individu mirip pemimpin kanan dalam negara baru-baru ini.

“Sehari sebelum Aidilfitri lalu, Malaysia telah dikejutkan dengan isu video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri dalam Kabinet kerajaan. Dalam hal ini, beberapa tangkapan untuk tujuan siasatan di bawah Kanun Acara Jenayah juga telah dibuat.

“Berdasarkan fakta setakat ini, di hadapan mata rakyat Malaysia malah dunia, ada seorang saksi material dan teramat penting membuat pengakuan tanpa paksa dan sukarela bahawa dia yang menjadi salah seorang pelaku dalam kes hubungan seks berkenaan.

“Kesalahan itu jika disabitkan dalam statut kanun keseksaan yang mana adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara dan sebat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hassan berkata, kemelut berhubung isu berkenaan juga tidak seharusnya begitu rumit kerana masyarakat telah memahami bahawa penugasan itu adalah untuk diselesaikan Ketua Polis Negara dan juga Peguam Negara.

“Masa telah lebih daripada cukup untuk Polis Diraja Malaysia menyelesaikan kertas siasatan dan menyerahkan kepada pendakwa raya (Peguam Negara) untuk memulakan tindakan pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-dua ketua agensi kerajaan ini diamanahkan oleh Perlembagaan Persekutuan bagi pihak rakyat dan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan tugasnya di bawah undang-undang bagi pelaksanaan sistem keadilan di Malaysia menurut asas Kedaulatan Undang-Undang dan Keluhuran Perlembagaan,” katanya.

Dalam masa sama, Hassan juga menuntut Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkasakan kedaulatan undang-undang tanpa bertangguh serta melaksanakan proses keadilan seperti yang telah dijanjikan dengan jujur dan adil.

“Berkenaan perkara ini, saya harap tiada sebarang campur tangan terhadap proses pentadbiran sistem keadilan dan undang-undang di negara ini berhubung kes video intim yang telah memalukan lebih 32 juta rakyat Malaysia di mata masyarakat dunia,” katanya.