Tidak hormat DUN: Pembangkang nafi dakwaan MB Perak

 Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Perak menafikan dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mereka tidak menghormati institusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam isu pengisytiharan harta.

Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, Ahmad Faizal harus membaca semula handsard DUN kerana ADUN pembangkang bersetuju dengan prinsip pengisytiharan harta itu tetapi tidak bersetuju dengan kepada siapa pengisytiharan harta perlu dibuat.

Menurutnya, ADUN-ADUN pembangkang tidak ada masalah untuk menyerahkan borang pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tidak kepada Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

"Isunya kenapa SPRM hanya diberikan salinan. Sepatutnya pengisytiharan hendaklah dibuat terus kepada SPRM. Timbul juga persoalan kenapa Speaker DUN mesti menjadi pengantara?

"Kami juga mempersoalkan bentuk borang pengisytiharan itu adakah sama dengan borang SPRM, jika sama kenapa perlu diserahkan kepada Speaker DUN dan jika berbeza di bawah peraturan manakah kuasa diberikan kepada Speaker untuk berbuat demikian?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Faizal bahawa tindakan ADUN pembangkang yang enggan mematuhi usul pengisytiharan harta yang diluluskan pada Sidang DUN baru-baru ini sebagai tidak menghormati institusi DUN.

Saarani berkata, pihaknya telah memberi cadangan supaya usul tersebut dibincangkan semula dengan dibentuk satu jawatankuasa khas melibatkan pelbagai parti tetapi malangnya cadangan ditolak oleh Koo Ham.

Katanya, selepas ia dibincangkan barulah dikemukakan semula kepada DUN seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN yang lepas ketika membawa usul Enakmen Pesisir Pantai.

Artikel Berkaitan:

"Hakikatnya usul yang dibuat ini adalah bagi menggunakan DUN sebagai perkakasan kuasa legislatif untuk mengambil alih kuasa eksekutif.

"Adalah amat malang jika menteri besar tidak dapat melihat permainan licik DAP yang menguasai DUN dan seolah-olah mahu mewujudkan satu lagi kuasa pentadbiran dalam kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, Ahmad Faizal perlu sedar bahawa pihak kerajaan sebenarnya yang mencemarkan DUN Perak kerana mempergunakan institusi itu untuk mencabul prinsip asas demokrasi iaitu doktrin pengasingan kuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Lulus usul isytihar harta: Satu lagi pencapaian PH Perak

Pada 23 Julai lalu, DUN Perak meluluskan usul pengisytiharan harta semua ADUN Perak termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam akuan berkanun.

Dalam usul tersebut, semua ADUN diberi tempoh tiga bulan dari tarikh usul diluluskan untuk mengemukakan borang pengisytiharan harta kepada Speaker DUN Perak dan memberikan salinan kepada SPRM.