Perkeso bayar RM93 juta pampasan kemalangan kenderaan bermotor

Perkeso
Perkeso
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM93.57 juta bayaran pampasan bagi kemalangan perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja disebabkan kenderaan bermotor dibayar oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Perkeso dalam kenyataan kepada Bernama berkata, jumlah tersebut adalah bagi faedah hilang upaya sementara berdasarkan 25,219 kes yang diterima dengan purata pembayaran faedah sebanyak RM3,710 bagi setiap kes.

"Berbanding tahun lalu bagi tempoh yang sama, Perkeso membayar RM94.53 juta bagi 26,637 kes dengan purata bayaran setiap kes adalah RM3,550," menurut kenyataan tersebut hari ini.

Katanya untuk kemalangan maut dan non-fatal (tidak maut), Perkeso turut membayar faedah sebanyak RM169.08 juta bagi kes hilang upaya sementara manakala RM421.86 juta bagi hilang upaya kekal dan bagi faedah orang tanggungan, Perkeso membayar sebanyak RM240.07 juta.

"Justeru, menerusi Skuad Perkeso Prihatin, kita akan secara berterusan bertindak lebih proaktif bagi membantu pencarum yang terlibat dalam sesuatu kemalangan. Ini termasuklah mempercepatkan pembayaran faedah bagi mengurangkan beban pencarum atau waris yang terlibat dalam kemalangan," katanya.

Sementara itu, sektor pentadbiran awam dan pertahanan serta aktiviti keselamatan wajib terus menjadi kumpulan paling banyak menerima faedah bagi hilang upaya sementara sepanjang tempoh tersebut tahun ini iaitu RM60.51 juta.

Antara sektor lain yang menerima jumlah faedah tertinggi adalah pembuatan (RM42.04 juta), pembinaan (RM22.41 juta) dan perdagangan (RM19.83 juta).

"Tahun lalu, sektor pentadbiran awam dan pertahanan serta aktiviti keselamatan wajib mendapat faedah RM64.41 juta, pembuatan (RM44.08 juta), pembinaan (RM23.94 juta) dan perdagangan (RM23.53 juta)," kata kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: